suria

Fimie Don raya di rumah jaga bapa, anggap ibu lebih berhak balik Kedah... “Ajal itu rahsia Tuhan”

PELAKON Fimie Don bakal menyambut Aidilfitri bersama bapanya, manakala ahli keluarga lain akan pulang ke Kedah.

Kata Fimie atau Shafimie Saedon, 28, keputusan itu dibuat kerana mahu menjaga bapanya yang masih terlantar akibat strok sejak lebih sedekad lalu.

Menurut Fimie, dia tidak berkecil hati kerana ibunya lebih berhak pulang ke kampung halaman untuk menziarahi nenek.

“Raya tahun ini merupakan tahun ke-12 papa saya mengalami strok, jadi saya hanya akan berada di rumah untuk menjaganya.

“Mama pula akan pulang ke Kedah bersama kakak dan abang ipar. Jadi seperti biasa saya akan tinggal di rumah untuk menjaga papa.

“Bagi saya mama lebih berhak untuk pulang berjumpa opah. Ajal itu rahsia Tuhan, jadi saya mahu mama dapat kerap berjumpa ibunya,” katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Fimie berkata sambutan Aidilfitri mereka juga cukup sederhana apabila keluarganya memilih tema pakaian berwarna hitam sejak beberapa tahun lalu.

“Tema raya tahun ini sama seperti tahun lepas iaitu warna hitam. Simple sahaja. Mama pula memang kebanyakan pakaiannya warna hitam. Kalau kami pilih warna lain nanti dia seorang sahaja berbeza.

“Jadi kami ikut sahaja kehendaknya. Rasanya sudah lima atau enam tahun kami pakai baju raya warna hitam, cuma setiap tahun beli yang baharu walaupun warnanya sama,” ujarnya.

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI

 



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi