PELAWAK veteran Sathia reda dan sudah menerima takdir jika kaki kirinya perlu dipotong akibat jangkitan kuman.
Sathia atau Sathia Periasamy,61, bagaimanapun memberitahu dia masih lagi menunggu keputusan daripada pakar di Hospital Ampang untuk membenarkan pembedahan tersebut yang dijangka akan dilakukan pada Jumaat ini.
“Jumaat ini mungkin doktor akan periksa lagi keadaan kaki kiri saya, doktor kasihan melihat keadaan saya… sepatutnya semalam sudah potong kaki tapi doktor tangguhkan dulu.
“Punca jadi macam ni sebab dulu ibu jari kaki terkena kerusi kemudian bengkak dan hitam tapi lama-kelamaan makin hitam serta sakit sampai betis.
“Doktor berikan tempoh sehingga Jumaat ni untuk pastikan keadaan kesihatan saya stabil atau tidak, kalau okay kemungkinan tak perlu potong kaki dan teruskan makan ubat saja,” katanya kepada mStar.
Untuk rekod, Sathia juga pernah menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) tahun lalu selepas diserang angin ahmar hingga menyebabkan pergerakannya menjadi agak terbatas selain disahkan menghidap darah tinggi sejak beberapa tahun lalu.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI

































































































































































