PELAKON Puteri Sarah Liyana mengakui sudah serik menjadi perhatian ramai selepas namanya terkait dengan kontroversi besar sejak beberapa tahun lalu.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 40, berkata dia kini mahukan ketenangan dan enggan lagi dikenali kerana isu sensasi sebaliknya memberi tumpuan terhadap kerjaya seni serta perniagaan.
“Saya rasa malas sebab saya pernah menjadi satu isu besar dulu dan jadi perhatian. Sebenarnya, ada baik dan buruk juga bila jadi perhatian ni.
“Kalau kita buat salah sikit sahaja, kita akan dibicarakan. Jadi, sekarang Sarah rasa lebih baik hidup tenang. Tapi tak lari daripada industri, masih ada, masih ke sana ke sini dan masih aktif.
“Kalau boleh tak nak nama terpalit lagi kontroversi, saya nak orang cakap dia berlakon, perniagaan dan produk dia bagus.
“Sebab kalau kita terlalu kontroversi sangat, salah sikit je orang nampak, akan jadi besar,” katanya kepada mStar.
Sarah memaklumkan perkara itu ketika ditemui pada Majlis Gala: Pelancaran Penjenamaan LINDUNG Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang diadakan di Kuala Lumpur.
TONTON VIDEO TEMU BUAL YANG DISEDIAKAN MSTAR INI

































































































































































