BUKAN sekadar seorang bapa, Allahyarham Zain Abdullah juga menjadi individu penting dalam perjalanan kerjaya dua anaknya iaitu penyanyi Ziana Zain dan Anuar Zain.
Menurut Ziana atau nama sebenarnya Siti Roziana, 57, arwah banyak memberi tunjuk ajar dalam teknik nyanyian suatu ketika dahulu selain sentiasa mengambil berat mengenai perkembangan kerjaya anak-anaknya.
“Dia adalah tulang belakang kerjaya saya. Dia yang ajar menyanyi dan teknik bernafas.

Ziana ketka bercerita tentang arwah bapanya.
“Soal penampilan juga abah sentiasa ambil tahu. Setiap kali nak keluar dia akan tanya siapa yang solekkan saya.
“Dia selalu pesan, apabila kaki jejak di atas pentas, aura kena ada. Itulah nasihat yang sentiasa saya ingat,” katanya kepada mStar.
Ziana ditemui pada majlis bacaan tahlil di kediamannya di Shah Alam, Selangor pada malam Selasa.
Dalam kesedihan, Ziana reda dengan ketentuan Ilahi kerana seluruh ahli keluarga sudah bersedia selepas arwah disahkan menghidap kanser prostat.
ARTIKEL BERKAITAN: Bapa Ziana, Anuar Zain meninggal dunia
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bapa Anuar, Ziana Zain derita kanser prostat, jenazah selamat dikebumikan… “Dia selalu minta maaf sebab menyusahkan, tetapi tidak langsung”
“Saya tak boleh nak cakap apa-apa. Perkara ini kami sudah set dalam minda untuk hadapinya.
“Cuma saya sedih hilang doa seorang bapa. Sebagai bapa, dia adalah penjaga saya dan kini Allah ambil buat selamanya.
“Syukur urusan dipermudah. Abah dahulu seorang polis dan dikenali dengan sifat pemurah dan suka bantu orang lain. Dia juga sering beri makan kepada orang,” ujarnya.

Anuar juga sependapat dengan Ziana tentang bapa mereka.
Bercerita lanjut, Ziana berkata arwah sudah menunjukkan tanda-tanda lemah sehingga memerlukan bantuan dalam pengurusan harian.
Malah, sehari sebelum menghembuskan nafas terakhir, arwah sempat memanggil nama semua anak dan cucu untuk berada di sisinya.
“Dia sebut nama setiap orang. Dia panggil saya dan ibu untuk teman tidur di sebelah,” kongsinya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Elmina, Shah Alam, Selangor sekitar pukul 7 malam, Selasa.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube


