SEKUMPULAN murid berdepan detik cemas apabila objek berkarat yang ditemukan di kawasan sekolah rupa-rupanya sebutir bom tangan.Pada mulanya, mereka menyangka objek berkenaan hanyalah barang lama sebelum mengambilnya dan bermain-main tanpa menyedari bahaya yang menanti. Kejadian berlaku pada petang Khamis, di sebuah sekolah di daerah Nong Kung Si, wilayah Kalasin, Thailand.Difahamkan, bom tangan berkenaan ditemukan di kawasan luar kediaman guru sebelum murid-murid terbabit mengambilnya untuk bermain.Guru yang melihat kejadian itu segera bertindak selepas menyedari objek berkenaan menyerupai bom tangan lama yang dipenuhi karat serta dibalut dengan pita pelekat elektrik berwarna hitam.Tanpa berlengah, guru berkenaan mengarahkan murid-murid meletakkan objek itu dengan berhati-hati sebelum membawa mereka menjauhi kawasan berkenaan.Pihak polis kemudian dihubungi bagi mendapatkan bantuan.Anggota dari Balai Polis Nong Kung Si bersama sukarelawan pasukan penyelamat Kalasin Metta Tham tiba di sekolah tidak lama selepas menerima laporan.Pemeriksaan awal mengesahkan objek yang ditemukan itu merupakan bom tangan sebenar.Pihak polis memasang kon keselamatan dan tali penghadang di sekitar kawasan sekolah, termasuk di hadapan bangunan bilik darjah bagi menghalang murid, guru serta orang awam daripada menghampiri objek berkenaan.Pasukan Unit Pemusnah Bom (EOD) dari Polis Wilayah Kalasin turut dipanggil untuk menjalankan pemeriksaan lanjut sebelum membawa objek berkenaan ke lokasi selamat yang jauh dari bangunan dan kawasan kediaman untuk dimusnahkan.Operasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini, manakala tiada kecederaan dilaporkan.Bagaimanapun, pihak polis masih belum mendedahkan jenis bom tangan berkenaan atau bagaimana objek berbahaya itu boleh berada di luar kediaman guru di sekolah terbabit. -Agensi