MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menetapkan tarikh 24 November bagi mendengar permohonan peguam yang mewakili pelawak Harith Iskander untuk menarik diri daripada mewakilinya dalam saman yang difailkan Datin Seri Rosmah Mansor. Sangget Kaur Deo yang mewakili Harith secara ringkas mengesahkan permohonan berkenaan. "Ya, kami memohon untuk menarik diri sebagai peguam dia," katanya.Perbicaraan kes saman melibatkan Harith masih berjalan. Sementara itu peguam Mohamed Baharudeen Mohamed Ariff yang mewakili Rosmah memaklumkan bahawa pendengaran permohonan itu ditetapkan pada pukul 2.15 petang menerusi aplikasi Zoom ketika pengurusan kes di mahkamah pada Jumaat.Pada 9 Jun lalu, Rosmah memfailkan saman terhadap pelawak itu berhubung persembahan komedi yang didakwa memperlekeh dan menghina dirinya.Menerusi pernyataan tuntutan, Rosmah berkata Harith telah mengadakan persembahan komedi berjudul Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour di Swiss-Garden Hotel, Melaka pada 17 Januari lalu.ARTIKEL BERKAITAN: “Minta maaf ya" - Hanya ini jawab Harith Iskander selepas disaman Rosmah Mansor ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara jenaka ‘jalan gelap dan cermin pandang belakang’, Rosmah saman Harith Iskander! Dakwa dikaitkan figura menakutkanIsteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu mendakwa Harith secara peribadi dan sengaja membuat kenyataan berunsur fitnah menerusi paparan visual mengenai dirinya di hadapan penonton yang ramai ketika persembahan tersebut.Beliau mendakwa, ketika persembahan berlangsung, defendan memaparkan imej makhluk mitologi yang menakutkan dalam masyarakat Malaysia termasuk toyol, pontianak dan pocong sebelum memaparkan gambarnya kepada penonton sebagai sebahagian daripada jalan cerita jenaka berkenaan.Plaintif mendakwa kenyataan berunsur fitnah itu dibuat dengan niat untuk mencemarkan reputasi dan nama baiknya selain menghinanya menerusi perbuatan mempersendakan bentuk fizikal (body shaming).