Rosmah mendakwa Harith menghina rupa paras dan fizikalnya dalam satu persembahan komedi, Januari lalu.
ISTERI bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor memfailkan saman fitnah terhadap pelawak terkenal, Harith Iskander berhubung satu persembahan komedi yang didakwa mempersendakan serta menghinanya.Rosmah memfailkan writ saman itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Jun lalu. Berdasarkan penyataan tuntutan yang dilihat The Star, dakwaan fitnah itu dikatakan berlaku ketika persembahan "Harith Iskander: The Outspoken Comedy Tour" di Hotel Swiss-Garden, Melaka pada 17 Januari lalu.Menurut Rosmah, Harith dengan sengaja mencemarkan reputasinya menerusi paparan visual yang dipertontonkan kepada penonton sepanjang persembahan berkenaan.Beliau mendakwa pelawak itu terlebih dahulu memaparkan imej beberapa makhluk halus yang digambarkan menakutkan dalam cerita rakyat Malaysia seperti toyol, pontianak dan pocong, sebelum memaparkan gambarnya sebagai sebahagian daripada jalan cerita jenaka tersebut.Rosmah turut mendakwa Harith membuat jenaka mengenai pemandu yang melihat cermin pandang belakang ketika memandu di jalan gelap sebelum imejnya dipaparkan di skrin, sekali gus memberi gambaran seolah-olah beliau merupakan satu figura yang menakutkan.Menurutnya, tindakan itu dilakukan dengan niat untuk memalukan, merosakkan reputasi serta menjadikannya bahan ejekan awam, selain menyifatkan ia turut mengandungi unsur memperlekehkan fizikal atau body shaming.ARTIKEL BERKAITAN: Gagal kemuka bukti kukuh 43 barang kemas dirampas pihak berkuasa, Rosmah diarah bayar RM67.5 juta kepada syarikat LubnanSehubungan itu, Rosmah menuntut Harith membuat permohonan maaf tanpa syarat selain menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.Sementara itu, dalam penyataan pembelaannya, Harith atau nama penuhnya Harith Iskander Musa menafikan persembahan tersebut dilakukan dengan niat jahat atau berunsur fitnah.Sebaliknya, pelawak itu menegaskan keseluruhan rutin itu perlu dinilai mengikut konteks penuh sebuah persembahan komedi dan bukannya berdasarkan petikan pendek yang tular di media sosial.Menurut Harith, saman yang difailkan Rosmah banyak bergantung kepada dua klip video yang dimuat naik menerusi akaun TikTok @mayychan0303, sedangkan rakaman itu tidak menggambarkan keseluruhan persembahan yang berlangsung selama kira-kira 90 minit.Harith turut memaklumkan tidak mengenali pemilik akaun TikTok berkenaan dan menegaskan rakaman serta penyebaran video tersebut dibuat tanpa kebenaran, sekali gus melanggar peraturan yang ditetapkan pihak penganjur.Harith juga menjelaskan imej Rosmah hanya dipaparkan beberapa saat sepanjang persembahan berdurasi satu jam 30 minit itu."Paparan tersebut hanyalah seketika dan bukan tema utama atau fokus persembahan defendan, selain tidak diulang serta tidak boleh dipisahkan daripada keseluruhan konteks persembahan komedi itu," demikian menurut penyataan berkenaan.Tambah Harith, sebelum persembahan bermula, pihak penganjur turut menyiarkan peraturan serta penafian yang jelas dalam bahasa Melayu dan Inggeris, yang akan dijadikan sebahagian daripada hujah pembelaan sepanjang prosiding perbicaraan. -The Star