PELAJAR perempuan yang menerima rawatan akibat ditikam oleh rakan sekolahnya dalam insiden berdarah pada 6 Julai lalu, kini dilaporkan semakin pulih dan dijangka dibenarkan keluar dari hospital seawal Rabu.Perkembangan tersebut dimaklumkan Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari, susulan makluman daripada doktor ketika kunjungannya ke hospital pada 9 Julai lalu. "Doktor memaklumkan dia memerlukan kira-kira seminggu sebelum dibenarkan keluar dari hospital... mungkin Rabu," katanya kepada pemberita pada Selasa.Berkongsi mengenai keadaan pelajar berusia 15 tahun itu, Anfaal berkata mangsa stabil namun masih dalam proses pemulihan susulan kecederaan yang dialaminya.ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tikam Banting dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu KintaTambahnya, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Selangor bagi memperkukuh usaha pencegahan menerusi Program Advokasi Lindung Kasih.Ujarnya, JKM Daerah Kuala Langat turut menawarkan khidmat kaunseling bukan sahaja kepada mangsa dan bapanya, malah kepada rakan sekolah yang berada di lokasi kejadian kerana dipercayai mengalami trauma akibat insiden tersebut.Dalam kejadian 6 Julai lalu, seorang pelajar perempuan cedera ditikam oleh rakan sekolahnya dalam insiden di sebuah sekolah menengah di Banting.Susulan kejadian tersebut, suspek yang merupakan remaja perempuan berusia 15 tahun didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh.Pada 10 Julai, Mahkamah Majistret Telok Datok mengarahkan suspek dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak bagi menjalani penilaian selama sebulan.