PATAH tulang pada bahagian mata antara kecederaan dialami seorang YouTuber yang juga pengkritik bola sepak selepas dipercayai dipukul dua individu tidak dikenali di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Sri Damansara, Selangor, Sabtu lalu.Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 7.56 malam. Katanya, siasatan awal mendapati mangsa yang ketika itu ingin mengisi angin tayar kenderaannya didatangi dua lelaki menaiki sebuah motosikal jenis Yamaha LC."Suspek kemudian memukul mangsa berkali-kali sebelum merakam video kejadian dan melarikan diri dari lokasi."Akibat kejadian itu, mangsa mengalami patah tulang mata serta beberapa kecederaan lain," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Shamsudin berkata, usaha mengesan kedua-dua suspek sedang dijalankan.Menurutnya, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Danish Noor Azri di talian 013-6201412 bagi membantu siasatan.Katanya lagi, orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan bahan berkaitan kejadian di mana-mana platform sehingga boleh menjejaskan siasatan polis.Sementara itu, video kejadian tular pada Isnin tersebut memaparkan mangsa ditumbuk dan diterajang beberapa kali sehingga terduduk.Dalam rakaman berkenaan, mangsa turut dilihat cuba meminta bantuan orang awam sebelum suspek menghentikan serangan dan dileraikan oleh orang ramai.Rakaman itu turut menunjukkan kedua-dua suspek memakai topi keledar dan pelitup muka, sekali gus menyebabkan identiti mereka tidak dapat dikenal pasti dengan jelas.Rakaman asal dimuat naik mangsa bagaimanapun telah dipadamkan, namun video tersebut kemudiannya dikongsi semula oleh beberapa platform media sosial lain.Untuk rekod, YouTuber berkenaan mempunyai lebih 10,900 pengikut, selain aktif menghasilkan kandungan berkaitan jersi, kasut bola dan ulasan mengenai perkembangan bola sepak tempatan. Dia turut dikenali kerana sering melontarkan pandangan berhubung pengurusan, pemasaran serta isu semasa bola sepak Malaysia.