DIKEMASKINI MAHKAMAH Persekutuan mengekalkan sabitan bebas terhadap Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Isnin atas empat pertuduhan berkaitan pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).Keputusan itu sekali gus mengakhiri penantian enam tahun bekas Menteri Belia dan Sukan itu dalam usaha membersihkan namanya daripada tuduhan tersebut. Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abd Bakar Jais, bersama Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequoyah menyampaikan keputusan rayuan akhir sebentar tadi. Keputusan itu dibuat selepas panel mendengar hujah daripada kedua-dua pihak pada Disember tahun lepas.Sharifah Mahani memeluk Syed Saddiq sejurus selepas keputusan dibacakan. Dalam keputusan majoriti 2-1, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah berpendapat Mahkamah Rayuan tidak melakukan sebarang kekhilafan apabila membenarkan rayuan Syed Saddiq pada Jun tahun lalu.Bagaimanapun, Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang mengetuai panel berkenaan memberikan penghakiman berbeza.Che Mohd Ruzima dan Sequerah memutuskan tiada kesilapan undang-undang atau prosedur yang boleh dijadikan asas untuk membenarkan rayuan pendakwaan.Dengan keputusan itu, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan sepenuhnya daripada sabitan serta hukuman tujuh tahun penjara, dua sebatan dan denda RM10 juta yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mensabitkan Syed Saddiq atas empat pertuduhan bersubahat menyalahgunakan RM1 juta dana Armada, menyeleweng RM120,000, serta memindahkan wang dipercayai hasil aktiviti haram sebanyak RM50,000 sebanyak dua kali dari akaun peribadi ke akaun ASB.Pada 25 Jun 2025, Syed Saddiq dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan atas terhadap keempat-empat pertuduhan menerusi keputusan sebulat suara panel tiga hakim yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.Pihak pendakwaan telah memfailkan petisyen rayuan di Mahkamah Persekutuan dengan 28 alasan antaranya bagi mengembalikan semula sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi yang diketepikan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan tersebut.Sepanjang prosiding rayuan kes itu, pasukan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib dan Farah Ezlin Yusop Khan, manakala Syed Saddiq diwakili peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik.