suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Suspek kes tikam Banting dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta

Kenderaan membawa remaja terbabit di Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat pada Jumaat.

TERTUDUH kes tikam di sebuah sekolah di Banting, Selangor pada Isnin lalu akan dirujuk ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Majistret Mahkamah Telok Datok, Kuala Langat, Maslinda Selamat memerintahkan perkara itu bagi membolehkan suspek remaja perempuan berusia 15 tahun itu menjalani penilaian selama sebulan.

Sebelum itu, suspek didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan membunuh di mahkamah sama pada Jumaat.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas tertuduh juvana itu hanya mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tikam pelajar Banting pernah terjun bangunan sekolah

Mengikut pertuduhan, remaja itu didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap mangsa menggunakan sebilah pisau sehingga menyebabkan kecederaan dengan niat menyebabkan kematian.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Amirul Syafiq Yazid.

Turut hadir dalam prosiding itu ialah ibu kepada tertuduh. 

Mahkamah menetapkan 10 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada Isnin lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan selepas dipercayai menikam seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting.

Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan seorang remaja perempuan berbaju hitam, berseluar kotak merah hitam serta bertopi dipercayai membawa pisau dan berkeliaran di kawasan sekolah.

Rakaman turut menunjukkan beberapa pelajar lain bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri semasa kejadian berlaku.

Artikel Lain