suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Suspek kes tikam pelajar Banting pernah terjun bangunan sekolah

Shazeli berkata suspek mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

SUSPEK kes tikam pelajar di Banting rupanya-rupanya mempunyai rekod terjun dari bangunan di kawasan sekolah itu pada tahun lalu, demikian menurut polis.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan perkara itu menerusi sidang media pada Khamis.

"Saya tidak menafikan perkara itu. Laporan polis berhubung kejadian tersebut dibuat pada penghujung tahun lalu," katanya ringkas.

Sementara itu mengulas mengenai insiden kes tikam pada pada Isnin lalu, Shazeli berkata siasatan awal mendapati motif serangan dipercayai berpunca daripada dakwaan suspek dibuli oleh individu yang menjadi sasaran.

Namun katanya, setakat ini tiada kenyataan yang boleh mengesahkan dakwaan tersebut.

"Siasatan masih dijalankan. Dapatan awal kami menunjukkan serangan itu didorong oleh perasaan benci suspek terhadap beberapa individu yang didakwa pernah membulinya.

"Bagaimanapun, kenyataan yang dirakam daripada saksi tidak menunjukkan kejadian buli benar-benar berlaku. 

"Justeru, beri ruang kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti punca sebenar," katanya.

Siasatan turut mendapati suspek mengikuti pembelajaran di rumah sejak lapan bulan lalu atas faktor kesihatan dan menggunakan perkhidmatan e-hailing untuk ke sekolah pada hari kejadian.

Shazeli turut mengesahkan suspek mengalami masalah kesihatan mental termasuk kemurungan. 

Suspek juga disahkan menghidap autisme serta merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU).

ARTIKEL BERKAITAN: Gempar kes tikam pelajar di Banting! Saksi rakam remaja perempuan serba hitam bawa pisau berkeliaran dalam sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Suspek kes tikam Banting sudah berbulan-bulan tak hadir sekolah, sedang jalani rawatan kesihatan

Menurutnya, siasatan turut memberi tumpuan kepada penggunaan media sosial oleh suspek.

"Berhubung media sosial, kami percaya ia mungkin mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku suspek. Namun saya tidak boleh menyatakan platform yang terlibat kerana siasatan masih berjalan.

"Apa yang boleh saya katakan ialah usaha masih diteruskan bagi memastikan golongan bawah umur tidak mempunyai akses kepada media sosial, selaras dengan cadangan undang-undang baharu yang diumumkan kerajaan.

"Mungkin penguatkuasaan memerlukan sedikit masa, dan dalam tempoh itu suspek dipercayai berjaya mendapatkan senjata yang digunakan menerusi pembelian secara dalam talian," katanya.

Shazeli berkata, mangsa yang ditikam kini berada dalam keadaan stabil dan dirakam keterangannya oleh polis.

"Kami juga telah merakam keterangan daripada semua individu yang disenaraikan dalam nota milik suspek," katanya.

Pada Isnin lalu, seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan selepas dipercayai menikam seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Banting.

Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan seorang remaja perempuan berbaju hitam, berseluar kotak merah hitam serta bertopi dipercayai membawa pisau dan berkeliaran di kawasan sekolah.

Rakaman turut menunjukkan beberapa pelajar lain bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri semasa kejadian berlaku. - The Star

Artikel Lain