BANK Negara Malaysia (BNM) pada Khamis mengumumkan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM dalam satu kenyataan berkata, langkah mengekalkan OPR adalah bersandarkan penunjuk terkini yang menunjukkan pertumbuhan global yang berdaya tahan secara keseluruhan. Ia juga disokong oleh pengembangan teknologi kukuh serta keadaan bekalan dan harga komoditi utama yang bertambah baik."Pada tahap OPR semasa, MPC berpendapat bahawa pendirian dasar monetari adalah wajar dan konsisten dengan prospek kestabilan harga yang berterusan dan pertumbuhan ekonomi mampan. "MPC akan terus memantau perkembangan semasa dan menilai imbangan risiko berhubung dengan prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri," katanya dalam kenyataan.Bank pusat berkata, keadaan konflik di Asia Barat yang terus mereda akan menambah baik lagi keadaan rantaian bekalan global pada masa hadapan.Menurutnya, risiko pertumbuhan global menjadi rendah terus wujud, berpunca daripada ketidaktentuan yang berterusan berhubung dengan konflik tersebut, yang mana keadaan kewangan global lebih ketat dengan kebimbangan tentang penilaian dalam pasaran kewangan. "Bagi Malaysia, perkembangan terkini menunjukkan pertumbuhan berdaya tahan pada suku kedua, didorong permintaan dalam negeri yang mampan dan prestasi eksport lebih kukuh daripada jangkaan."Konflik di Timur Tengah yang masih tidak menentu boleh mempengaruhi prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri, tetapi asas Malaysia yang kukuh akan terus menyokong daya tahan ekonomi negara bagi menghadapi kejutan luaran," katanya.