KERAP dibuli dengan dibaling ais menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Satu mengejar tiga rakannya sambil memegang pisau pemotong kertas di sebuah sekolah menengah di Alor Gajah, Melaka pada Khamis.Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata berdasarkan siasatan, dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun dipercayai berulang kali membaling ais ke arah suspek yang juga pelajar berusia 13 tahun. Katanya berang dengan situasi tersebut, suspek mengeluarkan pisau pemotong kertas dari dalam bekas pensilnya sebelum mengejar salah seorang daripada mangsa sejauh kira-kira 50 meter hingga ke kawasan surau sekolah."Dua lagi pelajar yang berada bersama mangsa turut melarikan diri kerana bimbang menjadi sasaran. "Kejadian itu kira-kira pukul 2.50 petang ketika sesi kokurikulum itu turut dirakam kamera litar tertutup (CCTV) sekolah," katanya.Menurutnya, seorang guru yang mengetahui kejadian itu bertindak pantas dan berjaya memujuk suspek sebelum pelajar terbabit melepaskan pisau dipegang."Siasatan juga mendapati semua pelajar yang terbabit mempunyai rekod salah laku disiplin sejak awal sesi persekolahan tahun ini," katanya.Jelas Ahmad, pelajar yang melakukan serangan itu dilaporkan sedang menerima rawatan di Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Melaka dengan sesi rawatan terakhir direkodkan pada 3 Jun lalu, selain pihak sekolah sedia maklum mengenai keadaannya.Katanya, satu laporan polis dibuat oleh guru sekolah berkenaan di Balai Polis Durian Tunggal pada malam kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.