POLIS menahan seorang lelaki disyaki berulang kali menghendap seorang pelajar universiti berusia 22 tahun di apartmen mangsa.Perbuatan suspek menghidu kasut mangsa di luar pintu jeriji apartmen mangsa turut berjaya dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) yang kemudiannya tular di media sosial. Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, penahanan itu susulan laporan polis dibuat mangsa pada pukul 3.55 petang Ahad."Rakaman CCTV yang tular itu didakwa menunjukkan seorang lelaki mengambil sepasang kasut dari dalam rumah mangsa sebelum menghidu kasut tersebut di sebuah apartmen di Seksyen 7," katanya dalam kenyataan pada Isnin.Menurut Sarudin, mangsa mendakwa telah diganggu dan diekori suspek yang sama sejak April lalu, termasuk di kawasan universiti serta sekitar kediamannya.Bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam menahan suspek kira-kira pukul 8.30 malam Ahad di Seksyen 7, Shah Alam."Suspek yang berusia lingkungan 20-an juga merupakan pelajar universiti. Semakan awal mendapati dia tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing didapati negatif dadah," katanya.Susulan itu, polis akan memohon perintah reman terhadap suspek di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Isnin.Kes disiasat mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana kesalahan menghendap (stalking) berulang, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda jika sabit kesalahan.Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Sabryna Taha di talian 014-5130450 bagi membantu siasatan. -The Star