Datin Seri Rosmah Mansor diperintahkan membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL.
MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Datin Seri Rosmah Mansor membayar RM67.5 juta kepada syarikat barang kemas, Global Royalty Trading SAL, selepas mendapati isteri bekas Perdana Menteri itu bertanggungjawab atas kehilangan 43 barang kemas lapan tahun lalu.Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Quay Chew Soon pada Rabu, selepas mendapati pihak defendan gagal mengemukakan bukti kukuh berhubung dakwaan bahawa barang kemas tersebut telah dirampas oleh pihak berkuasa. Menurut mahkamah, sebanyak 44 barang kemas telah dihantar kepada Rosmah pada Februari 2018 di bawah perjanjian konsainan namun beliau tidak pernah membelinya dan ia kekal sebagai hak milik plaintif.Mahkamah turut menegaskan bahawa Rosmah tidak boleh sekadar menyatakan barang berkenaan mungkin dirampas dalam serbuan polis bagi melepaskan tanggungjawab sebagai penjaga amanah barang tersebut.Sebaliknya, beliau perlu membuktikan secara jelas apa yang berlaku kepada kesemua barang kemas berkenaan serta memastikan ia berada dalam jagaan sah.ARTIKEL BERKAITAN: Lepas, bebas 17 tuduhan... Rosmah anggap ‘hadiah hari jadi bermakna’"Defendan gagal berbuat demikian. Penjelasan spekulatif mengenai serbuan dan rampasan polis tidak dapat dipertahankan," katanya lagi.Rosmah sebelum ini mendakwa 43 barang kemas itu telah dirampas dalam serbuan pada 17 Mei 2018 di sebuah unit di Pavilion, Kuala Lumpur, tempat beliau menginap.Bagaimanapun, mahkamah mendapati tiada inventori lengkap yang mengesahkan kesemua 43 barang kemas tersebut benar-benar dirampas, kecuali satu item yang dikenal pasti secara sah.Hakim turut menyatakan bahawa hujahan pembelaan Rosmah tidak kukuh selepas beliau mengakui tidak membungkus atau memindahkan sendiri barang kemas berkenaan serta tidak menyelia proses pengangkutannya.Dalam pada itu, mahkamah turut menolak tuntutan balas Rosmah terhadap pihak ketiga termasuk Ketua Polis Negara dan kerajaan Malaysia.Mahkamah kemudiannya memerintahkan Rosmah membayar RM67,461,027.37 kepada plaintif dalam tempoh sebulan, selain kos RM75,000 kepada setiap pihak terlibat.Sementara itu, syarikat Global Royalty memfailkan saman pada 29 Mei 2023 mendakwa Rosmah memberikan kenyataan palsu bahawa 44 barang kemas termasuk rantai berlian, gelang dan tiara telah dirampas pihak berkuasa Malaysia.Peguam Rosmah, Rajivan Nambiar, memaklumkan bahawa pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan. -The Star