Elemen yang memberikan perlindungan terhadap kebajikan isteri dalam perkahwinan didapati sudah mula wujud sejak ribuan tahun lalu menerusi dokumen perundangan purba. -Gambar hiasan AI
KELUHAN kaum wanita mengenai suami ‘biawak hidup‘ sering menjadi antara topik hangat yang menjejaskan kehidupan rumah tangga.Namun siapa sangka, masalah pengabaian tanggungjawab ini sebenarnya bukan fenomena baharu yang hanya timbul pada zaman moden hari ini. Ini kerana ketegasan dalam membendung sikap suami yang suka lepas tangan sudah pun wujud di dalam dokumen perundangan kuno sejak ribuan tahun dahulu.Kewujudan undang-undang yang menyentuh secara langsung gejala ini membuktikan bahawa tabiat buruk tersebut sememangnya sudah dikesan berada dalam kehidupan tamadun manusia purba.Terdapat dua perundangan purba yang secara jelas memperuntukkan hak serta pembelaan kepada golongan isteri yang diabaikan suami.1. Kod Hammurabi (Sekitar 1750 Sebelum Masihi)Undang-undang Babylon purba ini mempunyai ketetapan sangat tegas menerusi Fasal 142 atau Law 142 bagi melindungi kebajikan golongan wanita teraniaya.Mengikut peruntukan asal, sekiranya seorang isteri enggan bersama suaminya dan hasil siasatan mendapati wanita itu tidak bersalah kerana menjaga maruah serta tidak culas, dia tidak akan dihukum.Sebaliknya, jika siasatan mendapati si suami kerap keluar rumah, mengabaikan serta memperlekehkan isterinya, maka wanita tersebut diisytiharkan bebas daripada sebarang kesalahan.Malah, isteri yang teraniaya itu turut diberikan hak sepenuhnya untuk mengambil semula mas kahwin atau harta hantarannya, selain dibenarkan pulang semula ke pangkuan rumah bapanya.2. Undang-Undang Assyria Pertengahan (Sekitar 2000 Sebelum Masihi)Tamadun Assyria Purba turut memandang serius isu suami yang meninggalkan isteri terkapai-kapai tanpa sebarang wang saraan atau bekalan hidup menerusi Fasal 36 di dalam dokumen perundangan Middle Assyrian Laws.Peruntukan undang-undang ini digubal bagi menangani kes suami yang keluar merantau ke luar negara tanpa meninggalkan keperluan asas seperti minyak, pakaian, mahupun bekalan makanan kepada isterinya di rumah.Dalam situasi pengabaian sedemikian, isteri dikehendaki menunggu kepulangan suaminya selama tempoh lima tahun sebelum dibenarkan berkahwin lain.Sekiranya pasangan itu mempunyai anak, anak-anak tersebut akan bekerja bagi menyara kelangsungan hidup mereka sepanjang tempoh berkenaan.