suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ramai sangka gaji RM3,500 dikira tak mampu beli rumah! Semak dulu kelayakan, paling penting ikut kemampuan bukan emosi

Terdapat beberapa salah faham yang dipercayai menjadi penghalang kepada pemilikan rumah dalam kalangan rakyat Malaysia. -Gambar hiasan

ISU harga hartanah di Malaysia sering menjadi perbualan apabila ramai meluahkan rasa sedih masih belum mampu memiliki kediaman sendiri.

Ia berpunca daripada ketidakpadanan antara harga rumah dengan pendapatan sebenar rakyat, di mana peningkatan kos sara hidup dan gaji tidak sepadan sehingga kediaman impian hanya sekadar 'mampu tengok'.

Bagi mereka yang berpendapatan sekitar RM3,500 dan menetap di ibu kota, impian untuk memiliki kediaman turut dianggap sebagai sesuatu yang mustahil.

Akibatnya, ramai anak muda terus memadamkan hasrat memiliki rumah pertama kerana berasa gaji mereka terlalu kecil.

Bagaimanapun tanggapan tersebut disifatkan sebagai kurang tepat oleh perunding hartanah, Fahmi Yahya.

"Gaji RM3,500 sebulan bukan bermaksud tak boleh beli rumah. Hakikatnya, apa yang bank tengok bukan angka gaji semata-mata," jelasnya di Threads.

Menurut Fahmi, ramai masih keliru dan menyangka syarat pertama untuk membeli rumah adalah memiliki pendapatan tinggi.

Tanggapan itu jelasnya salah kerana pihak bank akan turut menilai komitmen serta tanggungan hutang sedia ada sebelum meluluskan sebarang permohonan pinjaman.

Malah pihak bank didapati lebih cenderung memberikan kelulusan kepada individu yang mempunyai aliran kewangan dan lebihan pendapatan stabil berbanding mereka yang bergaji besar tetapi sarat dengan komitmen.

"Contoh mudah, seseorang bergaji RM3,500 dan setiap bulan dia sudah terikat dengan komitmen seperti ansuran kereta (RM900), pinjaman peribadi (RM700) dan kad kredit (RM300).

"Dalam situasi ini, peluang untuk pinjaman diluluskan menjadi jauh lebih mencabar berbanding individu bergaji sama yang bebas daripada sebarang hutang," jelasnya.

Pendek kata, isu utamanya bukanlah saiz pendapatan yang kecil, tetapi jumlah baki pendapatan bersih yang tinggal selepas ditolak komitmen.

Jerat emosi pembeli rumah pertama 

Selain isu kelayakan, antara kesilapan paling lazim dilakukan pembeli rumah pertama adalah membuat keputusan mengikut emosi dan bukannya kemampuan sebenar.

Dalam situasi yang mana nilai had maksimum pinjaman bank boleh mencecah 90 peratus daripada harga rumah, Fahmi berkata, ramai pembeli mengambil kesempatan dengan mencari rumah paling mahal mengikut had tersebut. 

Perlu diingatkan bahawa sekadar melepasi kelayakan pinjaman bank tidak menjamin anda mampu meneruskan kelangsungan hidup dengan selesa selepas itu.

Sebagai panduan Fahmi menyarankan agar kadar ansuran bulanan rumah dikekalkan sekitar 25 hingga 35 peratus sahaja daripada jumlah pendapatan bulanan, dan bukannya mengambil had maksimum yang ditawarkan bank.

Perlu deposit besar untuk beli rumah pertama

Satu lagi salah faham yang sering menjadi pegangan ramai adalah tanggapan bahawa mereka wajib menyediakan wang deposit yang besar sebelum boleh mula mencari rumah.

Hakikatnya, Fahmi menjelaskan bahawa pasaran hartanah masa kini menawarkan pelbagai alternatif yang fleksibel tertakluk kepada syarat kelayakan pembeli. 

Ia termasuk pelbagai kempen dijalankan pihak pemaju serta skim bantuan kerajaan khusus untuk pembeli rumah pertama, yang mampu mengurangkan kos permulaan pada jumlah yang agak signifikan.

"Sebab itu jangan terus cakap: 'Gaji aku RM3,500, memang tak layak.' Lebih tepatnya ialah anda belum menyemak kelayakan dengan betul," tegasnya.

Artikel Lain