Dengan fenomena perubahan iklim yang dirasai di seluruh dunia, simptom SAD turut memberikan kesan terhadap penduduk di negara tropika. -Gambar hiasan AI
SEJAK beberapa tahun kebelakangan ini, impak perubahan iklim terhadap cuaca global semakin dirasai di seluruh dunia, tidak terkecuali di Malaysia.Kesan ketara itu dapat dilihat menerusi beberapa insiden cuaca ekstrem yang melanda negara, antaranya taburan hujan tidak menentu sehingga mengakibatkan banjir, ribut kencang serta fenomena panas melampau. Pada masa sama, masalah jerebu yang mula melanda negara sejak Ogos lalu turut memburukkan lagi keadaan, ditambah pula dengan hujan lebat yang kerap turun saban hari.Situasi cuaca yang kelam dan jarang menampakkan sinaran matahari terik itu bukan sahaja membataskan pergerakan di luar, malah mula menimbulkan persoalan tentang kesannya terhadap emosi serta kesihatan tubuh badan."Disebabkan kita dah tiga bulan tak dapat direct sunlight (cahaya matahari terus), apa akan jadi pada kehidupan? "Ada kesan pada kesihatan mental tak? Yang pandai sains, sila komen," soal seorang pengguna di Threads. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warganet berpandangan keadaan cuaca yang mengehadkan pendedahan terhadap cahaya matahari itu sememangnya memberi kesan khususnya terhadap emosi mereka yang berada di tahap tidak baik.Tapi, tahukah anda bahawa situasi yang dialami itu bukanlah perasaan sedih atau malas semata-mata? Sebaliknya, ia berkait rapat dengan satu fenomena klinikal yang dikenali sebagai Gangguan Afektif Bermusim atau Seasonal Affective Disorder (SAD).Gejala ini lazimnya dilaporkan di negara yang mengalami musim sejuk apabila pengurangan tempoh cahaya matahari pada waktu siang berpotensi mencetuskan perubahan kimia di dalam otak manusia, sekali gus mengundang simptom seakan-akan kemurungan.Walaupun SAD lebih sinonim dengan negara empat musim, pakar kesihatan mental menjelaskan bahawa penduduk di rantau tropika turut tidak terkecuali daripada mengalami gejala serupa.Hal ini kerana musim tengkujuh yang panjang, cuaca berjerebu atau tabiat kerap terperap di dalam bangunan tanpa melihat cahaya matahari boleh memberikan kesan yang sama terhadap jam biologi badan atau circadian rhythm.Ini merupakan tiga kesan utama apabila tubuh kita kurang mendapat cahaya matahari dalam tempoh lama:1. Kecelaruan hormon dan tidurPendedahan cahaya matahari yang kurang akan menjejaskan paras hormon serotonin yang berfungsi mengawal emosi, serta hormon melatonin yang mengawal kitaran tidur. Kesannya, otak menjadi keliru lalu membuatkan kita berasa murung, kurang fokus dan sentiasa mengantuk pada waktu siang.2. Rasa terasing dan cepat marahApabila cuaca buruk membataskan pergerakan di luar, kurangnya aktiviti fizikal dan interaksi sosial akan membuatkan seseorang mudah berasa terasing. Antara simptom ketara termasuklah cepat marah, lesu walaupun sudah cukup tidur, dan hilang minat pada hobi kebiasaan.3. Kemerosotan Vitamin D dalam badanSelain kesihatan mental, ketiadaan sinaran matahari turut menjejaskan penghasilan Vitamin D secara semula jadi pada kulit. Kekurangan vitamin ini untuk tempoh berbulan-bulan boleh melemahkan sistem imun badan yang menyebabkan seseorang individu lebih mudah jatuh sakit atau mengalami sakit-sakit otot. -Agensi