Keadaan cerun runtuh di Paya Terubong susulan kejadian tanah runtuh yang meragut nyawa seorang doktor pada Ahad.
ENAM rumah membabitkan lima keluarga di Paya Terubong diarah dikosongkan susulan pergerakan tanah yang masih dikesan di lokasi kejadian tanah runtuh yang mengorbankan seorang doktor berusia 73 tahun pada Ahad.Arahan henti kerja turut dikeluarkan terhadap projek pembangunan berhampiran yang membabitkan pembinaan jalan raya dan pangsapuri bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Pegawai Daerah Timur Laut, Isma Suhaimi Shariff berkata, pergerakan tanah masih berlaku meskipun cuaca kering, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.Menurutnya, sebuah kren berat dan bongkah konkrit besar di lokasi turut berisiko tumbang sekiranya berlaku pergerakan tanah susulan."Kerja-kerja berhampiran kawasan terjejas dihentikan berikutan risiko keselamatan," katanya.Sebagai langkah segera, cerun yang terdedah akan ditutup menggunakan plastik bagi menghalang air daripada meresap ke dalam tanah ketika hujan lebat.Penduduk yang terjejas dijangka perlu berpindah selama beberapa hari sementara pihak berkuasa menunggu penilaian teknikal daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Mineral dan Geosains serta Jabatan Kerja Raya bagi menentukan sama ada kediaman terbabit masih selamat untuk diduduki.Sebuah dewan komuniti di Paya Terubong turut dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara.Siasatan awal mendapati kebocoran saluran air dan longkang tersumbat menyebabkan air bertakung sebelum mencetuskan kejadian tanah runtuh berkenaan.Dalam kejadian kira-kira pukul 8.36 pagi Ahad, Wong Kar Lin, 73, maut selepas tertimbus apabila tanah runtuh melanda di bahagian belakang rumahnya di Taman Seri Rambai, Paya Terubong.Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Paya Terubong tiba di lokasi di Lebuh Rambai 13 dua minit selepas menerima panggilan kecemasan.Mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan pada pukul 9.10 pagi sebelum mayatnya berjaya dikeluarkan oleh pasukan penyelamat kira-kira pukul 11.20 pagi.Isteri mangsa, Chang Mei Nuo, 68, dan ibu mentuanya, Wong Poh Lim, yang berusia lingkungan 80-an, berjaya menyelamatkan diri dalam kejadian itu.Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk A Rajendran berkata, projek pembangunan berkenaan membabitkan pembinaan jalan raya dan pangsapuri yang telah dilaksanakan sejak lebih setahun lalu.Menurutnya, Pejabat Tanah akan menyelaraskan urusan berkaitan penduduk yang perlu dipindahkan susulan kejadian itu.