SENIMAN legenda Datuk Rahim Razali mendedahkan dirinya masih dihujani tawaran berlakon daripada pelbagai pihak produksi biarpun kini sudah mencecah usia 87 tahun.Bagaimanapun, Rahim mengakui terpaksa meletakkan syarat ketat dan lebih selektif sebelum menerima sebarang naskhah berikutan faktor fizikal llserta daya ingatan yang semakin terhad. Jelasnya, peningkatan usia membuatkan dia tidak lagi mampu bertahan untuk jadual penggambaran yang panjang seperti dahulu. Rahim berkongsi perkara itu ketika ditemui media. “Tawaran berlakon sebenarnya masih ada, tetapi agak sukar untuk saya terima kerana sudah tidak mampu berada lama di lokasi penggambaran. “Kalau sehari dua mungkin masih boleh dipertimbangkan, tetapi kalau lebih daripada itu, saya sudah tidak larat.“Usia saya pun sudah 87 tahun. Tiga tahun lagi genap 90 tahun, insya-Allah kalau Tuhan panjangkan umur,” katanya kepada mStar selepas majlis Anugerah Seri Angkasa 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Ahad. Malah secara jujur, Rahim mengakui keupayaannya untuk menghafal dialog kini semakin lemah. ARTIKEL BERKAITAN: Azhan Rani & Noorkhiriah ungguli ASA 2026... Rahim Razali dipilih Tokoh Seri AngkasaARTIKEL BERKAITAN: Rahim Razali Selamat Jalani Pembedahan Otak“Saya juga perlu jujur dengan diri sendiri. Alhamdulillah saya masih boleh menghafal skrip, cuma kemampuan itu sudah berkurangan. “Kalau dahulu lima hingga 10 muka surat skrip pun tiada masalah, tetapi sekarang lima baris ayat pun sudah terasa susah,” ujarnya. Menyentuh perkembangan industri hiburan yang kini dibanjiri ramai bakat muda, Rahim menasihati generasi baharu agar memiliki minat dan tidak bersikap sambil lewa terhadap profesion lakonan.“Bagus ramai anak muda masuk industri perfileman, tetapi nasihat saya cuma satu iaitu jujurlah dengan diri sendiri. “Pastikan minat itu benar-benar tulen, bukan sekadar suka-suka. Masuk bidang ini kena serius, jangan sambil lewa. Banyakkan membaca untuk faham selok-belok penceritaan dan pembinaan watak,” tambahnya. Rahim menerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa 2026.Pada malam anugerah berprestij tersebut, Rahim diumumkan sebagai penerima Anugerah Tokoh Seri Angkasa yang melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej percutian serta hadiah kejutan berupa sebuah kereta elektrik (EV) jenama Proton e.MAS 7 bernilai RM150,000 berserta wang tunai tambahan RM8,000 tajaan CIMB.Menyifatkan pengiktirafan itu sebagai sesuatu yang sangat dekat di hatinya, Rahim meluahkan rasa teruja kerana tidak menyangka bakal dihadiahkan sebuah kenderaan elektrik buat pertama kali.“Saya sangat terharu kerana inilah antara anugerah yang sudah lama saya sanjungi dan hormati. Dunia penyiaran tidak banyak anugerah seumpama ini, jadi pengiktirafan ini membawa makna yang amat besar.“Mengenai hadiah kereta itu, memang saya terkejut kerana langsung tidak tahu. Tambah terkejut bila tahu ia jenis kereta elektrik kerana ini kali pertama saya menerima kenderaan jenis ini, malah belum pernah menaikinya.“Cuma pada usia sekarang saya sudah tidak dibenarkan memandu, jadi bolehlah anak-anak yang membawanya nanti,” ujarnya.