SELEPAS lebih empat tahun, bekas anggota kumpulan K-Clique iaitu Tuju memberi bayangan bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap kumpulan itu berhubung isu royalti lagu ciptaannya yang didakwa masih tertunggak.Tuju atau Mohd Azree Shah Awang Zamree, 30, berkata dia sudah menghubungi semua ahli kumpulan berkenaan menerusi mesej peribadi (DM), namun tiada sebarang maklum balas sehingga kini. "Empat tahun royalti tertangguh, kekalkan nama Tuju di dalam kontrak untuk dapatkan wang pendahuluan daripada pengedar muzik. "Sudah DM keseluruhan ahli tetapi tiada maklum balas sampai sekarang."Aku tidak sempurna tapi tentang hak. Titik peluh aku, aku kena bersuara. Sudah lebih empat tahun. Notis Tuntutan (LOD) is otw, Aku beri korang peluang untuk selesaikan semua hak aku," katanya. Tuju menunjukkan bukti sudah menghantar mesej kepada kesemua anggota K-Clique.Tuju berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Threads miliknya.Dalam hantaran sama, dia turut berkongsi tangkap layar yang menunjukkan mesej sudah dihantar kepada semua anggota K-Clique pada 1 Jun lalu.Dalam pada itu, Tuju menjelaskan dia tidak pernah membantah pembahagian royalti secara sama rata walaupun mendakwa menyumbang lebih banyak dalam penulisan dan penghasilan lagu bagi setiap projek."Aku mengambil masa lebih kerana aku cinta seni dan percaya yang kamu semua adil dan matang," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Tuju tuntut hak selepas empat tahun, ahli K-Clique didakwa tidak beri maklum balas... “LOD is otw!”ARTIKEL BERKAITAN: Kerap ditanya soalan ‘mana Tuju?’, akhirnya Noki sahkan sudah keluar K-Clique... “Tak beri kesan apa-apa pun”Sementara itu, Tuju turut menegaskan isu berkenaan bukan berhubung soal peribadi, sebaliknya berkaitan hak dan hasil titik peluh yang sepatutnya diberikan seadilnya."Betul, macam mana buruk pun perangai kita tapi janganlah kita mengambil hak orang atau tidak membayar hak orang, titik peluh orang."Ini sudah fasa umur semua pun 30 tahun ke atas. Sampai bila? Mimpi sudah tamat guys, mari cermin diri sama-sama," katanya. Tuju kini bergelak solo selepas meninggalkan K-Clique.Bagaimanapun, usaha mStar mendapatkan kenyataan lanjut daripada Tuju tidak berjaya apabila panggilan telefon dan mesej yang dihantar tidak berjawab.Pada akhir 2022, timbul spekulasi mengenai tindakan Tuju meninggalkan K-Clique, namun penyanyi rap itu memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai tindakan itu.Selepas hampir dua tahun, Tuju akhirnya menjelaskan keputusan untuk bergerak solo dibuat atas kehendaknya sendiri.Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan punca sebenar meninggalkan kumpulan itu kerana menyifatkan ia perkara terlalu peribadi untuk dikongsikan.Selain Tuju, K-Clique turut dianggotai MK, Noki, Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.