SEORANG wanita yang pernah membuat laporan polis selepas mendakwa dihendap individu dikenali, ditemukan maut di rumahnya.Kejadian di Jung-gu, Daejeon, Korea Selatan itu terbongkar selepas ahli keluarganya menemukan mangsa tidak bernyawa sekitar pukul 2 petang Sabtu, 24 Oktober lalu.Susulan penemuan itu, pihak polis melancarkan operasi memburu dan berjaya menahan seorang lelaki berusia lingkungan 40-an di Gangneung, Wilayah Gangwon pada pukul 7.40 pagi, Ahad.Suspek yang ditahan selepas 18 jam melarikan diri itu merupakan individu sama yang pernah dilaporkan mangsa sebelum ini.Menurut polis, suspek bertindak menukar teksi beberapa kali selepas membunuh mangsa bagi mengelirukan pihak berkuasa. Walaupun suspek enggan memberi keterangan, polis kini masih meneruskan siasatan bagi mengena pasti motif serta kronologi sebenar kejadian.Berdasarkan rekod siasatan, mangsa pernah membuat aduan pada 10 Oktober tahun lalu selepas didakwa diganggu suspek menerusi panggilan telefon dan mesej berterusan.Susulan itu, polis mengeluarkan arahan melarang lelaki berkenaan mendekati atau menghubungi mangsa, selain membekalkan wanita tersebut dengan jam pintar keselamatan untuk perlindungan diri.Bagaimanapun, mangsa kemudian memaklumkan mereka sudah berdamai dan tidak mahu suspek dihukum.Wanita itu turut memulangkan semula jam pintar keselamatan yang diberikan.Pada Disember tahun lalu, polis sekali lagi menerima panggilan berhubung pertengkaran antara mereka.Walau bagaimanapun, mengambil kira situasi ketika itu, termasuk ketiadaan sebarang kecederaan pada mangsa, pihak polis mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan menutup kes di tempat kejadian. -Agensi