Jimat bukan bermaksud menyeksa diri, tapi cara paling bijak untuk guna sumber dengan berhemah. -Gambar hiasan AI
APABILA disebut tentang bil elektrik rumah naik, alat penyaman udara (aircond) selalu jadi mangsa keadaan.Apatah lagi jika sesebuah kediaman itu dipasang dengan empat buah unit sekali gus. Itulah cabaran yang pernah dihadapi oleh seorang pengguna Threads, Azim Azlisham apabila bil elektrik di rumahnya kerap mencecah antara RM250 hingga RM350 sebulan walaupun dia sudah menggunakan peralatan jenis inverter yang cekap tenaga.Untuk makluman, Azim tinggal di sebuah unit kondominium tiga bilik bersama isteri dan seorang anaknya berusia empat tahun.Antara penyumbang utama penggunaan elektrik di rumahnya adalah empat unit penyaman udara, peti sejuk, penapis air dan udara, serta mesin basuh dan pengering pakaian.Bagaimanapun, Azim memaklumkan dia akhirnya menjumpai penyelesaian terhadap isu berkenaan."Saya berbincang dengan beberapa rakan yang mempunyai saiz isi rumah serupa. Mereka membayar bil elektrik serendah RM100 sebulan. Perkara itu menarik perhatian saya."Jadi, saya mula memantau dan menilai ke mana perginya penggunaan elektrik saya dan melakukan beberapa perubahan praktikal."Enam bulan kemudian, bil saya bagi bulan September 2026 turun kepada RM104.80 untuk penggunaan 376 kilowatt perjam (kWj). Ini berjaya dilakukan tanpa menjejaskan keselesaan hidup keluarga saya," kongsinya di Threads.Berikut adalah empat langkah dikongsikan Azim untuk memastikan penjimatan elektrik di rumah:1. Ubah cara penggunaan penyaman udara Anda tidak perlu berhenti menggunakan penyaman udara bagi menjimatkan bil elektrik, sebaliknya ubah cara penggunaannya dengan menetapkan suhu pada mod sejuk di paras 23 darjah Celcius dan penetapan mod kelajuan kipas secara automatik.Selain itu, pasang kipas siling pada kelajuan rendah, bersihkan penapis secara berkala, dan pastikan bilik ditutup rapat agar udara sejuk tidak terkeluar. Langkah-langkah ini dapat memastikan bilik kekal sejuk dan memiliki aliran pengudaraan baik tanpa memaksa penyaman udara bekerja terlalu keras.2. Kawal penggunaan peti sejuk dan peti sejuk beku Daripada menetapkan suhu pada tahap maksimum, laraskan suhu peti sejuk pada sekitar 4 darjah Celcius dan peti sejuk beku pada -18 darjah celcius untuk memastikan makanan kekal segar dengan tahap penggunaan tenaga yang paling cekap.Selain itu, amalkan tabiat seperti meminimumkan masa pintu dibuka, meletakkan pek ais di bahagian peti sejuk beku, menyusun makanan dengan teratur dan membiarkan makanan panas sejuk terlebih dahulu sebelum disimpan.Anda juga perlu memastikan pengudaraan baik di sekeliling peti sejuk, menyahbeku ais berlebihan, dan sentiasa memeriksa keadaan kedap getah pintu kerana perubahan kecil ini sangat membantu mengoptimumkan perkakas yang beroperasi 24 jam sehari. 3. ToU tidak jamin penjimatanWalaupun Tarif Masa Penggunaan (ToU) oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) menawarkan kadar lebih murah pada waktu luar puncak seperti malam, ia akan mengenakan caj yang lebih tinggi pada waktu puncak iaitu pada waktu siang. Oleh itu, pelan ini mungkin tidak masuk akal jika anda bekerja dari rumah dan kerap menggunakan elektrik sepanjang hari.Anda dinasihatkan untuk menyemak corak penggunaan harian sebelum menukar pelan, kerana tarif yang nampak murah di atas kertas belum tentu paling menjimatkan untuk gaya hidup keluarga anda. 4. Pantau penggunaan kWj, bukan hanya jumlah bayaran Jumlah bil bulanan boleh berubah-ubah akibat faktor seperti cukai, insentif dan pelarasan.Jadi memantau bacaan berdasarkan penggunaan kWj adalah cara yang lebih tepat dan mudah untuk melihat serta membandingkan jumlah sebenar elektrik yang digunakan.Dengan memantau naik turun bacaan kWj, anda juga berpeluang untuk melayakkan diri bagi mendapatkan diskaun tarif tertentu.Fokus kepada penurunan kWj dengan memperbaiki tabiat harian membolehkan anda mengurangkan penggunaan elektrik tanpa perlu mengorbankan keselesaan keluarga anda.