Mohd Shuhaily hadir ke Mahkamah Sepang bagi menghadapi prosiding membabitkan dirinya yang dituduh menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di KLIA, September lalu. -Foto The Star
DATUK Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan itu membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Khairatul Animah Jelani. "Saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan," katanya.Mengikut pertuduhan, beliau didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di KLIA Terminal 1, Sepang, antara pukul 1.17 dan 1.35 tengah hari pada 28 September lalu.ARTIKEL BERKAITAN: “Saya tidak sempurna” - Mohd Shuhaily tampil perjelas video tular di KLIA, tak tolak ada usaha jejas imejnya dan AKPSKedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Shahrizat Ismail, Ahmad Sazali Omar, Nor Azizah Aling dan Nur Aqiilah Ahmad Rofaie.Mohd Shuhaily diwakili peguam Datuk Rosal Azimin Ahmad, Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Dr Baljit Singh Sidhu, Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Ahmad Zaidi Zainal, Md Yunos Shariff, Muhammad Rafique Rashid Ali dan Kitson Foong.Terdahulu, Mohd Shuhaily, 54, tiba di Mahkamah Sepang pada pukul 7.30 pagi.Mengenakan sut berwarna biru gelap, Mohd Shuhaily yang ditemui pemberita di lobi mahkamah menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan sokongan kepadanya. Pada 28 September lalu, satu klip video memaparkan seorang lelaki yang kelihatan seperti Mohd Shuhaily memarahi seorang individu di KLIA, tular di media sosial. Dalam sidang medianya pada 1 Oktober, Mohd Shuhaily berkata beliau bersedia menerima apa jua keputusan berhubung video tular melibatkan dirinya.