Mohd Shuhaily memberi penjelasan susulan dirinya dikaitkan dengan video tular di KLIA. - Foto LOW LAY PHON/The Star
KETUA Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain bersedia menerima apa jua keputusan berhubung video tular melibatkan dirinya dengan dua individu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).Dalam sidang media pada Khamis, Mohd Shuhaily mengakui dirinya mempunyai kekurangan dan bukan seorang yang sempurna. "Saya sudah banyak kali mengatakan bahawa saya tidak sempurna. Hari ini saya berada di hadapan anda untuk menjelaskan kekurangan saya," katanya.Menjelaskan kejadian pada 28 September itu, Mohd Shuhaily berkata dia bersama pasukannya berada di KLIA susulan aduan mengenai sindiket 'ulat' warga asing serta beberapa cubaan menyeludup dadah keluar dari negara ini."Saya memutuskan untuk menjalankan operasi penguatkuasaan pada hari itu, khususnya di Aras 5. Secara kebetulan, apa yang kita terima (aduan) berlaku betul-betul di depan mata."Kita menahan seorang sindiket ulat warga asing dan kemudian kita bawa ke bilik pemeriksaan bagasi kepunyaan Pasukan Keselamatan Penerbangan (AVSEC)."Pada masa itu, tindakan penguatkuasaan tersebut hanya melibatkan pasukan saya dan pihak AVSEC," ujarnya. ARTIKEL BERKAITAN: Warga asing ditahan mengemis di KLIA, salah guna pas masuk - AKPSJelas Mohd Shuhaily, ketika proses soal siasat berlangsung, dua individu tidak dikenali memasuki bilik berkenaan dan merakam kejadian tanpa kebenaran.Ujarnya, kedua-dua individu itu kemudiannya dibawa kepada pasukannya dan diarahkan memadam rakaman tersebut."Seperti yang dilihat dalam video, saya menegur mereka dengan tegas dan memberi amaran keras, selaras dengan tugas saya sebagai anggota polis yang mengeluarkan arahan," katanya.Ketika ditanya sama ada berlaku sentuhan atau pergelutan fizikal antara dirinya dengan individu terbabit, Mohd Shuhaily memilih untuk menyerahkan perkara itu kepada pihak berkuasa yang menjalankan siasatan.Mohd Shuhaily juga tidak mendedahkan identiti dua individu terbabit, bagaimanapun, dua laporan polis dipercayai dibuat oleh dua anggota berkenaan tersebar dalam media sosial. Dia bagaimanapun mengesahkan mengetahui mengenai laporan polis yang dibuat berhubung kejadian tersebut.Menyentuh mengenai bagaimana rakaman itu tersebar, Mohd Shuhaily berkata video yang kini tular dipercayai merupakan rakaman sekunder terhadap video asal, dan bukannya rakaman secara langsung.Dia juga tidak menolak kemungkinan penyebaran video itu mempunyai kaitan dengan usaha menjejaskan imej serta reputasinya dan AKPS.Susulan itu, tambah Mohd Shuhaily, pasukannya sudah membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.Mohd Shuhaily turut berkata dia sudah memaklumkan perkara tersebut kepada kepimpinan tertinggi kerajaan dan bersedia menerima apa sahaja keputusan yang bakal dibuat."Jika harga untuk perubahan itu adalah diri saya, maka saya akan membayarnya," katanya lagi. -The Star