suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Jenayah ini amat dibenci” - Mahkamah Rayuan ‘upgrade’ hukuman, penganggur liwat dan bunuh anak asuhan ke tali gantung

Hukuman terhadap Badruldin ditukar kepada gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

MAHKAMAH Rayuan menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Mohamed Badruldin Mohamed, 41, atas kesalahan meliwat dan membunuh bayi lelaki berusia sembilan bulan.

Ia sekali gus mengetepikan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan yang diputuskan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah menyifatkan perbuatan tertuduh yang juga seorang penganggur sebagai tindakan amat kejam, tidak berperikemanusiaan dan keganasan melampau terhadap bayi yang tidak berdaya.

Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz berkata, perbuatan Mohamed Badruldin merupakan pengabaian tanggungjawab secara terang-terangan serta pengkhianatan terhadap amanah keluarga.

Katanya, mangsa merupakan bayi lelaki berusia sembilan bulan yang diserahkan ibunya kepada isteri responden untuk dijaga sementara wanita itu bekerja.

Namun, kepercayaan tersebut disalahgunakan apabila responden menganiaya bayi berkenaan sehingga diliwat dan meninggal dunia akibat lemas selepas saluran pernafasannya terhalang.

"Mesej yang jelas mesti disampaikan kepada responden dan masyarakat bahawa jenayah seperti ini amat dibenci dan hukuman terakhir yang setimpal ialah hukuman mati. Oleh itu, rayuan pendakwaan dibenarkan.

"Hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan yang diputuskan oleh hakim Mahkamah Tinggi diketepikan dan diganti dengan hukuman gantung sampai mati bagi kesalahan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika menyampaikan keputusan Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Kejam! Bayi 9 bulan diliwat, dibunuh suami pengasuh

Prosiding rayuan itu dipengerusikan Datuk Azman Abdullah dan turut bersidang ialah Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.

Dalam penghakimannya, Hayatul berkata hukuman oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap responden sebelum ini adalah tidak memadai.

Katanya, laporan bedah siasat merekodkan kecederaan dan lebam pada dubur serta bibir mangsa yang konsisten dengan punca kematian iaitu lemas.

"Kecederaan ini menggambarkan kekejaman dan kesakitan luar biasa yang terpaksa ditanggung seorang bayi tidak berdosa.

"Ahli kimia turut mengesahkan asid deoksiribonukleik (DNA) sperma responden ditemukan pada calitan dubur dan rektum mangsa dan dapatan ini menunjukkan bayi lelaki itu diliwat oleh responden, iaitu orang yang diberikan kepercayaan untuk memastikan keselamatannya," katanya.

Hayatul turut berpandangan hakim Mahkamah Tinggi tidak memberikan justifikasi munasabah ketika menentukan hukuman terhadap lelaki berkenaan.

Menurutnya, hakim terlalu menitikberatkan faktor mitigasi responden, termasuk hasratnya untuk kembali ke pangkuan masyarakat dan menjadi bapa lebih baik, sehingga mengetepikan keseriusan jenayah yang dilakukan.

"Pada hemat kami, hakim Mahkamah Tinggi terlepas pandang sifat keji kesalahan ini, undang-undang substantif dan magnitud jenayah tersebut. 

"​Kegagalan melihat keseriusan jenayah ini menuntut kami campur tangan bagi menegakkan keadilan substantif dan membetulkan ketidakadilan yang berlaku," katanya.

Pada 21 November tahun lalu, pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menjatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan selepas Mohamed Badruldin mengaku bersalah membunuh bayi berkenaan.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang, Ara Damansara antara pukul 8 pagi hingga 3.30 petang pada 27 April 2021.

Lelaki itu turut berdepan pertuduhan melakukan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii (meliwat) mangsa antara pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari pada tarikh dan lokasi sama mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

Bagi kesalahan tersebut, dia dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan satu sebatan, dengan hukuman penjara diperintahkan berjalan serentak dengan hukuman bagi kes bunuh.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan tidak mengemukakan rayuan terhadap hukuman bagi kesalahan liwat.

Pada prosiding ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norshazwani Ishak manakala Mohamed Badruldin diwakili peguam Datuk Mohtarudin Baki dan Jayananda Rao.

Artikel Lain