MENAMPAL potongan kalimah al-Quran pada kenderaan bukanlah sesuatu yang dilarang secara mutlak, namun umat Islam perlu memastikan ia tidak diletakkan di tempat tidak sepatutnya hingga boleh mencemarkan kesuciannya.Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan [Tonton Video], terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan ulama mengenai hukum perbuatan tersebut, bergantung kepada keadaan dan cara ia diletakkan. Menurutnya, ada ulama berpandangan hukumnya makruh, harus dan ada juga yang menganggapnya haram."Kalau kalimah suci ditampal di cermin kereta kemudian terkena najis cicak atau burung, apakah hukumnya?"Ada ulama mengatakan makruh, ada ulama mengatakan harus dan ada ulama mengatakan haram," katanya.Mengulas lanjut, beliau berkata, hukum asal meletakkan tulisan atau ayat al-Quran pada dinding adalah harus, namun terdapat garis panduan yang perlu dipatuhi bagi menjaga kehormatannya.Beliau menjelaskan, dalam perbahasan kitab fekah empat mazhab, ulama turut menekankan supaya ayat al-Quran tidak diletakkan terlalu rendah pada dinding masjid sehingga kedudukannya boleh terkena tubuh seseorang ketika berdiri."Jangan letak rendah. Kalau orang berdiri, belakang dia terkena ayat al-Quran," jelasnya.Justeru, perkara sama perlu diberikan perhatian apabila seseorang mahu menampal kalimah suci pada kenderaan.Beliau turut mengingatkan supaya tulisan berkenaan tidak diletakkan terlalu rendah, khususnya di bahagian belakang kereta yang boleh terkena badan penumpang ketika bersandar.Sebagai contoh, jika tulisan itu diletakkan pada bahagian yang sama aras dengan tempat duduk belakang, penumpang mungkin tidak menyedarinya lalu bersandar sehingga menyebabkan kalimah berkenaan tidak dihormati."Kalau nak letak di cermin kereta belakang, jangan letak rendah. Nanti orang bersandar, jadi hina."Letak tinggi, di bahagian yang tidak boleh terkena punggung orang dan sebagainya," katanya.Selain itu, beliau turut mengingatkan mengenai tindakan Rasulullah SAW yang menanggalkan cincin tertera tulisan Muhammad Rasulullah sebelum memasuki tandas.Baginda hanya memakai semula cincin tersebut selepas keluar sebagai tanda menghormati tulisan yang tertera padanya.Menurutnya, perbuatan itu menunjukkan kepentingan menjaga kalimah yang mempunyai kaitan dengan agama daripada berada di tempat tidak sesuai.Justeru, sekiranya kalimah suci yang ditampal pada kenderaan terkena najis, termasuk najis burung, ia wajib dibersihkan dengan segera."Kalau terkena najis, wajib dibersihkan segera serta-merta," katanya.Beliau turut menjelaskan bahawa pemakaian baju yang mempunyai tulisan seperti Allahuakhbar dan Bismillah tidak diharamkan, tetapi pemakainya bertanggungjawab menjaga tulisan daripada terkena najis atau diperlakukan secara tidak wajar."Betul kata ulama, tidak haram pakai baju atau songkok yang ada tulis Allahuakhbar, Bismillah dan sebagainya. Tapi wajib kena jaga."Jangan kena najis. Kalau tak pakai, lebih elok," katanya.