RAKAMAN memaparkan objek aneh menyerupai obor-obor yang bergerak di ruang udara berhampiran sebuah pangkalan tentera mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan warga maya.Video itu menunjukkan objek gelap seperti obor-obor terapung di kawasan lereng gunung berhampiran pelangi, dengan beberapa jalur panjang berjuntai di bahagian bawahnya. Menurut pemilik video, Sara Jane Osborn, dia membuat rakaman itu di Anchorage, Alaska, pada 15 Jun lalu sebelum berkongsi mengenainya menerusi Facebook.Bagaimanapun, bekas ketua penyiasat objek terbang tidak dikenali (UFO) Pentagon, Sean Kirkpatrick, berpendapat fenomena itu mungkin mempunyai penjelasan yang lebih mudah.Menurutnya, video berkenaan mungkin sudah melalui proses pemampatan sehingga tidak sesuai digunakan untuk analisis data, selain kemungkinan ia dihasilkan menggunakan teknologi digital.Kirkpatrick mengemukakan kemungkinan objek itu sebenarnya layang-layang yang mempunyai jalur panjang sebagai hiasan."Pergerakannya menyerupai layang-layang dengan jalur berjuntai, khususnya cara jalur itu melambai," ujarnya yang pernah mengetuai Pejabat Penyelesaian Anomali Semua Domain (AARO) Pentagon.ARTIKEL BERKAITAN: Lebar seperti tiga buah kapal terbang, ada pancaran cahaya terang... Wanita dakwa lihat UFO terbang dekat kawasan rumahPemerhatian cuaca terdahulu turut menunjukkan keadaan berangin di Anchorage ketika penampakan itu dilaporkan berlaku.Menurut Weather Underground, angin bertiup dari arah barat pada kelajuan 16 batu sejam (kira-kira 26 kilometer sejam) pada 9.55 malam, sebelum berubah ke arah barat daya pada kelajuan 15 batu sejam (kira-kira 24 kilometer sejam) pada 10.55 malam.Penampakan itu dipercayai dirakam sekitar 10.15 malam.Bagaimanapun, data angin berkenaan tidak membuktikan objek itu ialah layang-layang kerana arah kamera dan lokasi sebenar objek tidak dapat dipastikan menerusi video tersebut.Kirkpatrick berkata, penyiasatan lanjut perlu dilakukan termasuk meneliti corak angin setempat, kemungkinan terdapat sambutan atau majlis berhampiran serta mencari rakaman kejadian sama dari sudut berbeza. -Agensi