Laluan yang mempunyai 430 anak tangga di sepanjang lereng bukit menuju puncak gunung digelar sebagai 'tangga langit bakti anak' oleh warga maya. -Foto SCMP
DEMI kasih terhadap ibu, lima beradik sanggup membina laluan tangga khas bagi memudahkan warga emas berusia 86 tahun itu pulang ke rumah yang terletak di puncak sebuah gunung.Laluan di sepanjang lereng gunung yang terletak di Kampung Yannan, Yueqing, wilayah Zhejiang, China itu mempunyai 430 anak tangga serta 11 selekoh. Malah, warga maya di negara tersebut menggelarkan laluan berkenaan sebagai 'tangga langit bakti anak' kerana usaha murni lima beradik itu demi keselesaan ibu mereka.Menurut laporan Chao News, wanita warga emas berkenaan mempunyai tiga anak lelaki dan dua anak perempuan.Anak perempuan bongsunya, Huang Zhulian, 58, berkata mereka lima beradik dilahirkan dan membesar di rumah keluarga yang terletak di puncak gunung berkenaan.Bagaimanapun, selepas bapa mereka meninggal dunia beberapa dekad lalu, dia dan adik-beradiknya membawa ibu mereka tinggal bersama di beberapa bandar berbeza.Namun, kehidupan di bandar tidak begitu sesuai dengan si ibu kerana dia sudah terbiasa menetap di kawasan pergunungan sejak kecil.Malah, setiap tahun ketika Pesta Membersihkan Kubur, warga emas itu tetap mahu pulang ke rumah lamanya untuk menziarahi serta membersihkan kubur suami dan ahli keluarga lain.Keadaan menjadi sukar apabila laluan lama menuju ke rumah mereka dipenuhi semak.Bimbang akan keselamatan ibu mereka, Huang dan adik-beradiknya sepakat membina laluan di sepanjang lereng bukit menuju puncak gunung.Projek pembinaan laluan berkenaan menggunakan wang mereka sendiri sepenuhnya.Lebih mengagumkan, lima beradik tersebut menyiapkannya tanpa mengupah kontraktor profesional.Laluan berkenaan yang mula dibina pada Ogos berjaya disiapkan pada Oktober lalu. Bagaimanapun, jumlah kos keseluruhan pembinaan tidak didedahkan.Menurut Huang, dia tidak kisah sekiranya ada pihak menganggap tindakan mereka sebagai sesuatu yang tidak masuk akal kerana sanggup bersusah payah membina laluan khas untuk ibu sendiri.Lebih membanggakan, laluan yang pada asalnya dibina khusus untuk memudahkan ibu mereka itu kini turut memberi manfaat kepada penduduk kampung, pengutip herba serta pengunjung yang gemar mendaki gunung. -Agensi