Sebarang kes melibatkan kematian memerlukan siasatan terperinci bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. -Gambar hiasan
SEORANG pelajar lelaki di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) dekat Kuala Kangsar, Perak ditemukan meninggal dunia pada petang Rabu.Pelajar terbabit ditemukan tidak sedarkan diri di dalam bangunan sekolah berkenaan. Difahamkan, mayat mangsa dibawa ke Hospital Taiping untuk menjalani proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.Setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis, namun difahamkan ia akan dikeluarkan dalam masa terdekat.Sementara itu, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dalam kenyataannya mengarahkan pihak sekolah supaya memberikan kerjasama penuh kepada polis susulan kes kematian pelajar berkenaan. "JPN Perak turut menzahirkan rasa dukacita yang amat mendalam atas pemergian seorang murid Tingkatan Tiga yang disahkan meninggal dunia di sekolah berkenaan pada 18 November. "JPN Perak sedang memantau perkembangan insiden ini secara dekat."Selain itu, JPN Perak sudah menyelaras penyediaan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling serta sokongan psikososial kepada murid, guru dan warga sekolah yang terkesan bagi memastikan kesejahteraan emosi mereka diberikan perhatian sewajarnya," menurut kenyataan itu.Jabatan itu juga akan memastikan komunikasi dengan keluarga murid dilaksanakan secara berhemah, penuh empati dan berterusan, selain menyediakan bantuan serta sokongan bersesuaian. Dalam pada itu, JPN Perak meminta semua pihak menghormati privasi keluarga mangsa dan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, khususnya menerusi media sosial.