KERAJAAN melalui Majlis Sukan Negara (MSN) akan menanggung sepenuhnya kos rawatan dan perubatan atlet angkat berat negara, Muhammad Hafizuddin Roslin.Menurut Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa. "Semakan MSN mendapati Hafizuddin layak menerima manfaat polisi insurans yang dianggarkan berjumlah RM120,000."Dia juga layak menerima faedah di bawah Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso)," demikian menurut kenyataan pada Rabu.Berdasarkan anggaran Perkeso, Taufiq berkata atlet itu akan menerima Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS) sebanyak RM50.40 sehari sepanjang tempoh cuti sakit.Kemudian, dia juga akan menerima Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK) sebanyak RM915.84 sebulan seumur hidup, selain bayaran pukal sekali gus berjumlah RM39,060.58.Menurut Taufiq, elaun latihan Hafizuddin juga akan diteruskan seperti biasa berdasarkan kadar kelayakan semasa."Bagi memudahkan keluarga menemani Hafizuddin di HKL, MSN menyediakan penginapan dan makan di Casa MSN atau lokasi lain yang difikirkan sesuai untuk keluarga."MSN juga akan meneliti bantuan dan sokongan jangka panjang bersesuaian, termasuk daripada aspek pemulihan, kaunseling serta peluang masa depan bagi memastikan kebajikannya terpelihara," ujarnya.Dalam pada itu, Taufiq berkata dia sudah menziarahi Hafizuddin di HKL dan atlet berusia 22 tahun berada dalam keadaan baik.ARTIKEL BERKAITAN: Doa buat Udin... Selepas ditidurkan, tangan kanan atlet angkat berat Hafizuddin terpaksa dipotong"Saya hari ini menziarahi Hafizuddin yang sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Hafizuddin berada dalam keadaan baik dan kuat semangat."Saya turut bertemu ibu bapa dan keluarganya serta menyampaikan sumbangan peribadi bagi meringankan beban keluarga sepanjang tempoh rawatan."Sama-sama kita doakan wira negara kita agar terus tabah dan kuat sepanjang proses pemulihan," ujarnya lagi.Terdahulu, mStar melaporkan tangan kanan Hafizuddin terpaksa dipotong susulan kecederaan yang dialami dalam kemalangan jalan raya.Hafizuddin terlibat dalam kemalangan motosikal di Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) pada Isnin malam.Dalam kejadian kira-kira pukul 11.28 malam itu, Hafizuddin dipercayai terbabas ketika dalam perjalanan dari Ampang menuju ke Bukit Jalil.