Seorang wanita warga emas nyaris menjadi mangsa penipuan dalam talian ataupun scam. -Gambar hiasan AI
TAKTIK penipuan atas talian ataupun scam semakin berleluasa walaupun pelbagai usaha dan kempen membendung masalah itu sudah dilakukan.Antara golongan sering menjadi sasaran ialah warga emas yang mudah 'termakan' dengan modus operandi scammer. Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian seorang perunding kewangan Nurfairuz SKamal di laman Threads yang menyaksikan sendiri kejadian scam di depan matanya.Insiden berlaku bila mana seorang wanita warga emas kelihatan cemas ketika mahu membuat transaksi pemindahan duit di bank.Menyedari situasi tersebut, Nurfairuz yang ditemani suaminya terus bertindak menyapa individu berkenaan untuk membantu."Asalnya kita tengah buat transaksi di mesin ATM, kemudian suami pelik tengok gelagat seorang makcik yang sedang cuba masukkan duit tapi asyik kena 'tendang'."Jadi alang-alang, suami pun tanya dia akaun siapa dia nak masukkan dan apabila makcik itu cakap akaun anak, dia terus tahu itu scammer."Lepas suami desak lagi dengan soalan baru dia buka cerita sambil tangan dia menggigil kata kenal orang Indonesia dari Facebook."Orang itu kata dia menang kereta dan masa hantar kereta boleh pula kemalangan dan minta makcik itu bayar dulu baru dapat kereta," katanya.Mendengar penjelasan warga emas itu, suami wanita itu terus menghubungi talian 997 bagi melaporkan insiden berkenaan sebelum menghantar makcik tersebut ke balai polis untuk membuat laporan.Jelasnya, ia merupakan kejadian kali kedua dialami individu terbabit namun masih tertipu dengan taktik serupa.Individu yang pernah menjadi mangsa scam disarankan untuk segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyekat transaksi dan akaun terlibat.Beroperasi selama 24 jam, tindakan pantas amat penting bagi mengelakkan wang mangsa terus dipindahkan atau disalahgunakan oleh sindiket.