Isu melibatkan rongga sinus yang terletak berdekatan hidung tidak boleh dipandang ringan kerana ia berisiko menjejaskan tahap kesihatan dan kehidupan. -Agensi
MASALAH hidung tersumbat dan selesema sering dianggap perkara biasa dan boleh sembuh dengan hanya mengambil ubat-ubatan.Namun bagi sesetengah orang masalah tersebut seolah-olah tidak pernah berakhir sehingga membuatkan mereka berasa tidak selesa akibat hidung tersumbat, gatal dan sakit kepala. Disebabkan itu masalah berkaitan rongga hidung atau sinus tidak boleh dipandang ringan.Doktor Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), Dr Syarifah Nafisah Al-Yahya menjelaskan pembedahan sinus atau Functional Endoscopic Sinus Surgery (FESS) boleh dilakukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.Bagaimanapun pembedahan sesuai sekiranya pesakit mengalami empat keadaan kritikal yang menjejaskan kesihatan serta kualiti hidup mereka.Berikut adalah empat situasi utama yang memerlukan pembedahan sinus menurut Dr Syarifah:1. Radang sinus kronik yang berlarutan lebih 12 minggu Keadaan yang dikenali sebagai Chronic Rhinosinusitis (CRS) ini berlaku apabila simptom berterusan selama tiga bulan atau lebih dan langsung tidak menunjukkan perubahan positif meskipun selepas menerima rawatan ubat-ubatan yang sepatutnya.Antara gejala ketara termasuklah hidung tersumbat, keluar cecair atau hingus berwarna hijau kekuningan, sakit pada bahagian muka dan kepala, serta deria bau semakin berkurang. Malah, pesakit juga sering berasa berat pada bahagian kepala terutamanya ketika ingin melakukan pergerakan sujud di dalam solat. Keputusan untuk membedah bagaimanapun akan disokong menerusi bukti pemeriksaan endoskopi hidung atau imbasan tomografi berkomputer (CT scan).2. Ketumbuhan polip dalam hidung sehingga hilang deria bau Masalah radang sinus kronik yang disertai dengan ketumbuhan polip atau tisu lembut di dalam saluran hidung (Chronic Rhinosinusitis with Nasal Polyps) akan menyebabkan saluran pernafasan tersumbat dengan teruk.Lebih membimbangkan, pesakit akan mengalami kehilangan deria bau yang sangat ketara sehingga aroma kuat seperti buah durian Musang King sekalipun gagal dihidu. Pembedahan perlu dilakukan jika gejala tersebut masih mengganggu pesakit biarpun rawatan perubatan secara optimum telah diberikan.3. Jangkitan sinus akut yang kerap berulang Situasi Recurrent Acute Rhinosinusitis merujuk kepada serangan sinusitis akut yang kerap datang dan pergi, walaupun pesakit mempunyai tempoh sembuh sepenuhnya di antara setiap episod serangan tersebut.Bagi kes seperti ini, doktor akan mengesahkan diagnosis terlebih dahulu serta menilai faktor penyumbang utama. Pembedahan akan mula dipertimbangkan sekiranya serangan yang berulang kali itu mula menjejaskan kualiti hidup pesakit dan rawatan ubat-ubatan tidak lagi mencukupi.4. Komplikasi serius pada mata, otak atau disyaki ketumbuhan Pembedahan segera amat diperlukan sekiranya jangkitan sinus telah merebak sehingga menyebabkan komplikasi pada bahagian soket mata (orbital) atau bahagian dalam tengkorak (intracranial) bagi tujuan mengeluarkan pengumpulan cecair atau nanah.Selain itu, prosedur ini turut disarankan bagi merawat mucocele (kantung berisi lendir yang membengkak dan menekan tisu sekeliling), jangkitan kulat (fungal) pada sinus.Penyakit sinus yang hanya menyerang sebelah bahagian sahaja (unilateral), ataupun kes disyaki melibatkan ketumbuhan (neoplasm) yang memerlukan pengesahan diagnosis serta rawatan pembedahan.