suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Rahang terkunci, mengunyah sampai boleh meleleh air mata tahan sakit... Ketahui tentang ‘TMJ Disorder’ dan gejalanya

TMJ Disorder merupakan gangguan atau masalah pada kedua-dua belah sendi rahang yang menghubungkan tulang rahang bawah dengan tulang tengkorak di bahagian hadapan telinga. -Agensi

BAYANGKAN setiap kali ingin mengunyah makanan, bercakap mahupun sekadar menguap, sendi rahang terasa bagai terkunci dan mencucuk-cucuk sehingga kesakitannya merebak ke kepala serta telinga.

Itulah derita terpaksa ditanggung oleh penghidap Bilateral TMJ Disorder atau gangguan sendi rahang dua hala.

Kesan dihadapi penghidap penyakit itu turut tular menerusi satu perkongsian dibuat seorang seorang bapa mengenai keadaan anak perempuannya di platform Threads baru-baru ini.   

Di dalam hantaran tersebut, pengguna akaun fahaizalzee1 memuat naik video memaparkan keadaan anaknya yang terbaring dan menangis menahan kesakitan.

"Anak saya pengidap Bilateral TMJ disorder dan kalau sakit, sampai menangis tahan sakit.

"Tiada ubat untuk pengidap Bilateral TMJ ini," ujarnya yang turut memaklumkan anaknya kini sedang melanjutkan pelajaran di Matrikulasi Selangor dalam jurusan sains.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menitipkan doa agar pelajar berkenaan diberikan kesembuhan, selain ada dalam kalangan pengguna berkongsi pengalaman serta cadangan rawatan pakar bagi mengurangkan kesakitan dialami.

Apa itu Bilateral TMJ Disorder?

Bilateral Temporomandibular Joint Disorder (TMJ) merupakan gangguan atau masalah pada kedua-dua belah sendi rahang (kiri dan kanan) yang menghubungkan tulang rahang bawah dengan tulang tengkorak di bahagian hadapan telinga.

Sendi ini berfungsi seperti engsel yang membolehkan rahang bergerak untuk mengunyah, bercakap dan menguap. 

Apabila ia mengalami keradangan, ketegangan otot atau perubahan kedudukan cakera sendi pada kedua-dua belah (bilateral), ia boleh mencetuskan kesakitan melampau.

Gejala dan punca

Pesakit mengalami masalah ini lazimnya berdepan dengan rasa sakit berdenyut atau mencucuk di kawasan rahang, wajah, leher mahupun bahu yang boleh merebak ke kepala seakan-akan serangan migrain.

Selain itu, kesakitan turut boleh dirasai antaranya di dalam atau sekitar telinga dan kadang kala disertai bunyi berdengung, bunyi 'klik' atau geseran ketika membuka mulut, serta keadaan rahang terkunci yang menyukarkan pesakit membuka mulut dengan luas.

Keadaan ini kebiasaannya berpunca daripada tabiat mengetap atau menggesel gigi yang dikenali sebagai bruxism akibat tekanan stres, kecederaan pada bahagian rahang, masalah susunan gigitan tidak sekata atau penyakit sendi seperti artritis.

Pilihan rawatan perubatan

Walaupun ramai beranggapan tiada penawar khusus bagi masalah ini, bidang perubatan sebenarnya menawarkan pelbagai kaedah rawatan bagi mengawal kesakitan serta memulihkan fungsi rahang pesakit.

Sebagai contoh, pengamal perubatan dan pakar Bedah Mulut dan Maksilofasial lazimnya menyarankan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat tahan sakit atau antiradang (NSAIDs), ubat pengendur otot atau muscle relaxants dan ubat saraf dos rendah bagi mengawal kesakitan kronik.

Pada masa sama, pesakit juga boleh menjalani sesi fisioterapi rahang dan menggunakan alat pelindung mulut khas yang ditempah di klinik pergigian untuk mengurangkan tekanan pada sendi ketika tidur.

Di samping mengamalkan penjagaan kendiri seperti tuaman panas atau sejuk pada pipi dan mengambil makanan lembut.

Bagi kes kronik yang tidak bertindak balas terhadap rawatan asas pula, pakar boleh mencadangkan prosedur lanjutan termasuk suntikan pada sendi seperti kortikosteroid atau botox untuk melegakan ketegangan otot atau melakukan pembedahan sendi.

Artikel Lain