suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ngeri tapi masih ada harapan! Tindakan pantas orang sekeliling penentu mangsa cacat kekal atau tidak

Anggota polis yang putus pergelangan tangan selepas ditetak kini menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

INSIDEN membabitkan seorang anggota polis yang putus pergelangan tangan kanan selepas ditetak lelaki bersenjatakan parang di sebuah pangsapuri di Desa Amanpuri, Kepong, pada Rabu mengundang kebimbangan ramai.

Lans Koperal berusia 26 tahun itu kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menyambung semula anggota badan yang terputus akibat serangan tersebut.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar anggota yang bertugas di Cawangan Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Kejadian itu mencetuskan perhatian terhadap tindakan awal yang perlu dilakukan sekiranya berdepan kecederaan serius sehingga menyebabkan anggota badan terputus.

Ini kerana situasi seumpama itu bukan sahaja boleh berlaku akibat serangan fizikal, malah kemalangan di tempat kerja atau insiden melibatkan mesin dan peralatan tajam juga berisiko menyebabkan kecederaan sedemikian.

Public Health Malaysia (PHM) berkongsi panduan mengenai langkah yang perlu dilakukan sekiranya berdepan situasi anggota badan terputus akibat kecederaan.

Menurut perkongsian itu, kejayaan pasukan Hospital Selayang menyambung semula kedua-dua tangan seorang pesakit yang terputus akibat kemalangan di tempat kerja sebelum ini membuktikan keupayaan kepakaran pembedahan mikro di negara ini.

Bagaimanapun, aspek yang tidak kurang penting ialah tindakan awal sebelum mangsa tiba di hospital kerana ia boleh mempengaruhi peluang anggota berkenaan disambung semula.

1. Hentikan pendarahan dan hubungi 999

Langkah pertama adalah memastikan kawasan kejadian selamat sebelum memberikan bantuan kepada mangsa.

Gunakan kain bersih atau gauze untuk memberikan tekanan secara langsung pada bahagian luka bagi mengawal pendarahan.

Sekiranya berlaku pendarahan yang sangat banyak dan tidak terkawal, penggunaan tourniquet mungkin diperlukan, namun ia perlu dilakukan dengan betul oleh individu terlatih atau mengikut arahan petugas kecemasan.

2. Jangan buang anggota badan yang terputus

Anggota badan yang terputus perlu disimpan kerana walaupun kelihatan rosak, tisu berkenaan mungkin masih boleh digunakan untuk tujuan pembedahan atau pembinaan semula.

Jika keadaan mengizinkan, ambil anggota tersebut tanpa melambatkan usaha memberikan bantuan kepada mangsa.

3. Balut menggunakan kain bersih yang sedikit lembap

Anggota yang terputus perlu dibalut menggunakan gauze atau kain bersih yang dilembapkan dengan normal saline sekiranya tersedia.

Jika terdapat kotoran, bersihkan secara perlahan menggunakan saline.

Elakkan daripada menggosok, merendam dalam antiseptik atau cuba membaiki sendiri bahagian yang cedera.

4. Simpan dalam beg plastik kedap air

Selepas dibalut, masukkan anggota berkenaan ke dalam beg plastik kedap air dan tutup dengan rapat.

Kemudian, letakkan beg itu di dalam bekas yang mengandungi campuran air dan ais bagi mengekalkan suhu sejuk.

Bagaimanapun, jangan letakkan anggota yang terputus secara langsung di atas ais atau merendamnya di dalam air kerana tindakan itu boleh merosakkan tisu dan menjejaskan peluang penyambungan semula.

5. Segera dapatkan rawatan kecemasan

Hubungi talian kecemasan 999 dan ikut arahan petugas perubatan.

Bawa anggota yang terputus bersama mangsa ke hospital serta maklumkan waktu sebenar kecederaan berlaku.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak membuang masa mencari hospital pakar sendiri kerana pasukan perubatan akan menilai keadaan mangsa dan mengatur rujukan bersesuaian.

Dalam perkongsian sama, PHM turut menyenaraikan beberapa hospital kerajaan yang mempunyai perkhidmatan atau rangkaian rujukan kepakaran berkaitan pembedahan tangan dan mikrosurgeri:

-Hospital Selayang

-Hospital Kuala Lumpur

-Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang

-Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh

-Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar

-Hospital Pulau Pinang

-Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu

-Hospital Umum Sarawak di Kuching

Bagaimanapun, ketersediaan pakar dan kemampuan melakukan pembedahan penyambungan anggota secara kecemasan mungkin berbeza mengikut hospital.

PHM turut menjelaskan bahawa bukan semua anggota badan atau jari yang terputus boleh disambung semula kerana ia bergantung kepada jenis kecederaan, tahap kerosakan tisu, tempoh tanpa bekalan darah serta keadaan kesihatan pesakit.

Malah, kejayaan pembedahan juga tidak bermakna fungsi anggota berkenaan akan pulih sepenuhnya kerana pesakit mungkin memerlukan tempoh rehabilitasi yang panjang.

Artikel Lain