Tindakan warga asing itu menyebabkan kecederaan serius berlaku pada pihak polis dalam kejadian pada Rabu.
SATU insiden mencemaskan berlaku di Desa Aman Puri, Kuala Lumpur pada Rabu apabila seorang anggota polis berdepan detik cemas selepas pergelangan tangan kanannya putus dikelar lelaki bersenjatakan dua bilah parang.Kejadian itu turut tular di media sosial dan mendapat perhatian ramai menerusi rakaman video yang memaparkan detik-detik cemas pihak polis berdepan seorang lelaki warga asing. Menerusi rakaman video tersebut, kedengaran suara anggota polis cuba memberi amaran kepada lelaki berkenaan supaya meletakkan senjata sambil pistol diacukan ke arah suspek.Bagaimanapun, lelaki itu bertindak meluru ke arah mangsa dengan menghayunkan parang sehingga menyebabkan kecederaan serius.Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 7 malam ketika sepasukan polis bersama anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hadir ke lokasi bagi memeriksa keadaan seorang lelaki yang dipercayai berada dalam keadaan tidak stabil dan mengamuk.Menurutnya, sebaik sahaja pintu premis kediaman itu dibuka, seorang lelaki yang berada di dalam rumah tiba-tiba keluar dengan membawa dua bilah parang sebelum menyerang anggota yang berada di hadapan pintu."Akibat serangan itu, seorang anggota polis mengalami kecederaan parah sehingga pergelangan tangan kanannya terputus ketika cuba mempertahankan diri."Anggota lain yang berada di lokasi kemudian berundur bagi menyelamatkan diri, manakala suspek melarikan diri dengan berlari turun ke bawah," katanya dalam sidang media di Hospital Selayang, Kuala Lumpur pada Rabu.Shazeli berkata, anggota polis berusia 26 tahun itu berpangkat Lans Koperal dan bertugas di bahagian kereta peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.Mangsa yang pada awalnya dibawa ke Hospital Selayang untuk mendapatkan rawatan awal kemudian dipindahkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi menjalani pembedahan."Anggota berkenaan berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pembedahan bagi usaha menyelamatkan pergelangan tangannya."Insya-Allah, kita berdoa supaya tangan mangsa dapat disambungkan semula," katanya.Dalam pada itu, Shazeli berkata, terdapat beberapa kecederaan lain dialami anggota berkenaan termasuk di bahagian kepala dan badan.Anggota bomba dan KKM yang berada di lokasi turut mengalami sedikit kecederaan dan pihak polis sedang mendapatkan laporan lanjut daripada kedua-dua agensi berkenaan.Setakat ini hanya seorang suspek dipercayai terbabit dalam kejadian terbabit.