SEKRETARIAT Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) menggesa supaya Peguam Negara dicutikan sementara susulan kelewatan pelaksanaan perintah tahanan rumah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib berkata, sebuah badan bebas juga perlu menjalankan semakan menyeluruh terhadap cara kes berkenaan dikendalikan. Bercakap pada sidang media di Pusat Media Parlimen pada Rabu (11 November), beliau berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu menjelaskan punca kelewatan itu dan pihak yang bertanggungjawab."Pelaksanaan perintah mahkamah tidak memadamkan apa yang berlaku di AGC sehingga menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi itu."Peguam Negara mesti menjawab mengapa kelewatan itu berlaku dan siapa yang bertanggungjawab," ujarnya menggesa maklum balas daripada pihak berkenaan.Gesaan itu dibuat sehari selepas Najib dibenarkan pulang ke kediamannya di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, pada Selasa untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan perintah itu dilaksanakan serta-merta selepas AGC memohon semakan terhadap perintah pelepasan terdahulu yang dikeluarkan pada 6 November.Manndzri berkata, sekretariat itu turut mahu AGC menjelaskan persoalan undang-undang yang menyebabkan pelaksanaan perintah berkenaan tertangguh, termasuk dokumen yang digunakan untuk menyelesaikan isu tersebut."Jika penyelesaiannya melalui pengeluaran waran baharu atau pembetulan dokumen sedia ada, AGC mesti menjelaskan mengapa langkah itu tidak diambil lebih awal atau sebaik sahaja isu dikenal pasti," katanya.Beliau berkata, AGC berhak merujuk persoalan undang-undang kepada mahkamah dan tetap bertanggungjawab untuk bertindak segera, memberikan nasihat perundangan yang tepat serta memastikan keputusan dilaksanakan secara teratur.Manndzri turut meminta Peguam Negara menjelaskan peranannya sebagai anggota tetap Lembaga Pengampunan, termasuk sama ada persoalan berkenaan dibangkitkan ketika lembaga itu bermesyuarat pada 18 September lalu. Najib disabitkan kesalahan pada Julai 2020 kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta.Pada 2 Februari 2024, Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjaranya dikurangkan kepada enam tahun, manakala dendanya dikurangkan kepada RM50 juta.Pada 18 September, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, selaku urus setia Lembaga Pengampunan, mengumumkan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, berkenan mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib.Keputusan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta. -The Star