Larangan untuk membawa cecair melebihi had tertentu mula dilaksanakan selepas kira-kira 2006. -Agensi
BAYANGKAN anda sudah berada di pintu pemeriksaan keselamatan lapangan terbang, namun terpaksa merelakan pencuci muka berjenama mahal atau produk penjagaan diri kesayangan dicampak terus ke dalam tong sampah gara-gara melebihi had 100 mililiter (ml).Rasa ralat dan pedih di hati pasti sukar digambarkan, apatah lagi barangan tersebut bukan sahaja dibeli pada harga tinggi, malah masih elok dan belum sempat digunakan sepenuhnya. Situasi itulah yang mencetuskan persoalan seorang pengguna aplikasi Threads yang mempersoalkan sebab di sebalik amalan tersebut."Ape logik tak boleh bawa air lebih 100ml masa checkpoint imigresen, tapi lepas je imigresen boleh beli air?" tulisnya ringkas. Dalam pada itu, segelintir penumpang turut mendakwa larangan itu berkemungkinan adalah taktik pengurusan lapangan terbang untuk memaksa orang ramai berbelanja di zon pelepasan.Namun tahukah anda, larangan berkenaan sebenarnya dibuat atas faktor keselamatan penerbangan yang sangat kritikal dan berkait rapat dengan sejarah hitam cubaan serangan pengganas di udara.Rancangan serangan bom 2006 Ketetapan had 100ml sebenarnya bermula rentetan peristiwa menggemparkan pada tahun 2006 yang dikenali sebagai 2006 Transatlantic Aircraft Plot.Ketika itu, pihak perisikan United Kingdom berjaya mematahkan komplot pengganas yang merancang untuk meletupkan beberapa pesawat komersial dari UK ke Amerika Syarikat dan Kanada. Modus operandi mereka adalah menyembunyikan bahan kimia cecair berbahaya seperti hidrogen peroksida ke dalam botol minuman ringan berjenama Lucozade dan Oasis.Bahan tersebut dirancang untuk dicampurkan di udara bagi mencetuskan letupan berskala besar. Susulan itu, ujian forensik mendapati kuantiti cecair bawah 100ml tidak mempunyai impak kemusnahan yang mampu meruntuhkan struktur pesawat, sekali gus had 100ml dijadikan jalan tengah agar penumpang masih boleh membawa ubat-ubatan atau cecair penting lain tanpa membahayakan penerbangan.Mesin pengimbas tak boleh beza cecair bahayaSemasa peraturan ini mula diperkenalkan, mesin pengimbas sinar-X sedia ada di pintu keselamatan tidak mempunyai keupayaan untuk mengenal pasti perbezaan antara cecair tidak berbahaya seperti air masak atau susu dengan cecair kimia letupan.Jika setiap botol air perlu dibuka dan diperiksa secara manual oleh petugas keselamatan lapangan terbang, bayangkan barisan panjang serta kekecohan yang bakal berlaku. Disebabkan itu, larangan menyeluruh melebihi had 100ml diambil sebagai langkah berjaga-jaga yang seragam di seluruh dunia.Rantaian bekalan di balai pelepasan dikawal rapiJadi, mengapa pula dibenarkan membeli minuman di zon pelepasan atau kedai bebas cukai selepas pemeriksaan keselamatan?Sebabnya mudah iaitu kawasan pelepasan merupakan zon terkawal. Setiap produk dan minuman dijual di kawasan ini dibekalkan terus oleh vendor berdaftar melalui kawalan rantaian bekalan ketat.Bukan sahaja barangannya diperiksa sebelum dibawa masuk, malah pekerja di kedai-kedai berkenaan turut disaring keselamatannya. Oleh itu, minuman dibeli di dalam balai pelepasan terbukti selamat dan bebas daripada sebarang unsur bahan kimia berbahaya atau sabotaj pihak luar.