MAYAT seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ditemukan di kawasan hutan berhampiran sebatang sungai, dua hari selepas mangsa dilaporkan hilang.Jasad mangsa yang tidak berpakaian dan sudah mula mereput itu ditemukan sebelum keluarganya membuat laporan polis berhubung kes rogol dan pembunuhan berkenaan. Siasatan mendapati mangsa dipercayai dibawa oleh seorang lelaki yang dikenalinya ke kawasan sunyi dengan alasan mahu menunjukkan sungai berkenaan sebelum dirogol dan dibunuh.Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) turut menunjukkan suspek membawa mangsa menaiki basikal beberapa jam sebelum kanak-kanak itu dilaporkan hilang.Dalam rakaman itu, suspek dilihat memakai baju merah jambu dan seluar hitam, manakala mangsa duduk di bahagian belakang basikal.Suspek bagaimanapun melarikan diri selepas kejadian sebelum polis berjaya mengesan lokasinya di kawasan Parapukur, berhampiran sempadan Bengal-Bihar pada malam Ahad.Ketika serbuan dilakukan, suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah anggota polis sehingga terkena tayar kenderaan mereka.Polis kemudian membalas tembakan bagi mempertahankan diri sehingga menyebabkan suspek cedera.Suspek dibawa ke Raiganj Medical College and Hospital untuk mendapatkan rawatan, namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital berkenaan. -Agensi