PENGGUNA media sosial kecoh selepas tular video memaparkan kanak-kanak lelaki ditinggalkan ibu bapanya berhampiran Plaza Tol Nilai, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), pada Isnin.Menerusi video itu, kanak-kanak malang itu dilihat mengejar kereta ibu bapanya yang mula bergerak dan cuba berpaut pada pintu kenderaan sebelum terjatuh di atas jalan raya. Selepas terjatuh, seorang penunggang motosikal yang berada di tepi lebuh raya terus berlari untuk mendapatkannya bagi menghulurkan bantuan.Menurut Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Johari Yahya, pihaknya sudah menerima satu laporan berhubung kejadian itu.Malah, polis juga membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki terdapat unsur pengabaian atau perbuatan yang boleh membahayakan keselamatan kanak-kanak."Video berdurasi kira-kira seminit itu dipercayai dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan lain dan kejadian dikatakan berlaku di kawasan Plaza Tol Nilai.ARTIKEL BERKAITAN: Padah dera anak dengan 'hanger' sehingga maut! Pasangan suami isteri ditahanARTIKEL BERKAITAN: Pemuda imbau didera bapa saudara, dipukul sampai tak mampu berjalan"Bagaimanapun, tarikh, masa dan lokasi sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.Menurut Johari lagi, polis juga sudah menghubungi pemilik video itu bagi mendapatkan keterangan berhubung kejadian berkenaan."Berdasarkan kenyataan yang dimuat naik pemilik dashcam di media sosial, dipercayai waris kanak-kanak itu dikatakan berpatah balik dengan berjalan kaki untuk mendapatkan kanak-kanak berkenaan memandangkan lokasi kejadian jauh dari kawasan pusingan U."Namun, maklumat itu masih belum dapat disahkan dan memerlukan rakaman percakapan pemilik dashcam serta pengesanan waris dan kanak-kanak yang terbabit."Usaha sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemandu kenderaan, kanak-kanak yang terbabit serta mendapatkan rakaman asal dan keterangan saksi bagi membantu siasatan," ujarnya lagi.Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Bilik Gerakan Daerah Nilai di talian 06-7904222 atau balai polis berhampiran.