suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

AGC fail permohonan semak semula perintah pelepasan Najib

Pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara oleh AGC.

JABATAN Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa bagi mengkaji semula perintah pelepasan membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, permohonan itu juga bertujuan mendapatkan perintah pelepasan baharu supaya selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada 18 September lalu.

Dalam permohonan yang difailkan pada 10 November itu, AGC memohon mahkamah meneliti semula perintah berkenaan bagi memastikan pelaksanaannya menepati pengampunan yang diberikan kepada Najib serta membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.  

ARTIKEL BERKAITAN: Pengampunan bersyarat Najib jelas dan sah, Agong ingatkan jangan ingkar titah tahanan rumah

Pada 6 November lalu, Umno sudah menyelesaikan denda RM50 juta yang dikenakan ke atas Najib kepada pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Bagaimanapun AGC kemudian memaklumkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan sementara bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Agong.

AGC berkata, penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah bertarikh 18 September 2026, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International.

Susulan itu, bekas Perdana Menteri tersebut kembali ditempatkan di Penjara Kajang selepas AGC mengumumkan mahu membuat penelitian dan penjelasan lanjut berhubung tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Perintah Pelepasan Mahkamah Tinggi yang dikeluarkan selepas pembayaran denda berkenaan. 

Menerusi kenyataan diraja yang dikeluarkan Istana Negara pada 7 November, Agong menegaskan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah adalah jelas, sah dan mengikat sepenuhnya.

Artikel Lain