suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

“Awal lagi” - PM tepis spekulasi rombakan Kabinet

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) melihat model hartanah pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026. -Foto AZLINA ABDULLAH/The Star

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menepis spekulasi kemungkinan berlaku rombakan Kabinet dalam masa terdekat.

"Awal lagi," katanya ringkas sambil menegaskan belum tiba masanya untuk mempertimbangkan sebarang perubahan dalam pentadbirannya.

Anwar memberi respons itu ketika ditemui pada majlis perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) pada Selasa.

Ketika ditanya mengenai tempoh perkhidmatan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan sebagai senator yang bakal berakhir tidak lama lagi, Anwar berkata beliau belum menerima makluman mengenainya.

"Iyakah? Beliau belum beritahu saya," jawab Anwar.

Sebelum ini timbul spekulasi mengenai kemungkinan rombakan kecil Kabinet susulan perkembangan membabitkan dua jawatan menteri.

Memetik sumber, Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan rombakan berkenaan berkemungkinan dilakukan dalam masa terdekat, dengan membabitkan Kementerian Pengangkutan dan portfolio Menteri Kewangan II.

ARTIKEL BERKAITAN: Anthony Loke kekal pendirian, letak jawatan sebaik sahaja Najib tiba di rumah

Laporan itu turut menyebut perubahan dijangka hanya melibatkan dua jawatan berkenaan tanpa menjejaskan kedudukan menteri daripada Umno dan Barisan Nasional (BN).

Spekulasi mengenai Kementerian Pengangkutan timbul susulan keputusan Anthony Loke menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar pada 28 September lalu.

Keputusan itu dibuat berikutan bantahan DAP terhadap pengampunan bersyarat yang membolehkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Bagaimanapun, Anthony Loke bersetuju untuk terus menjalankan tugas sebagai menteri, sementara menunggu pelaksanaan tahanan rumah Najib.

Dalam perkembangan berkaitan, tempoh perkhidmatan Amir Hamzah sebagai senator dijadual berakhir pada 11 Disember ini.

Amir Hamzah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara bagi tempoh tiga tahun bermula 12 Disember 2023.

Mengikut Perkara 45(3) Perlembagaan Persekutuan, seseorang Ahli Dewan Negara berkhidmat untuk tempoh tiga tahun dan boleh dilantik semula bagi satu penggal lagi. -The Star

Artikel Lain