suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Nenek tukar nama adik, kononnya ‘terlalu berat’ nak tanggung... Ini pencerahan hukum Islam, hati-hati takut jadi khurafat

Orang-orang tua selalu beranggapan punca anak menangis ada kaitan dengan nama yang diberikan kepadanya. -Gambar hiasan AI

TIDAK dinafikan masih ada segelintir masyarakat kita yang percaya bahawa seseorang anak boleh jatuh sakit atau ditimpa kesusahan kerana nama yang diberikan kepadanya 'terlalu berat' untuk ditanggung.

Malah, ada ibu bapa yang mengambil keputusan menukar nama anak dengan harapan keadaan kesihatannya bertambah baik.

Persoalan mengenai kepercayaan itu pernah diajukan kepada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi ruangan Irsyad al-Fatwa Siri Ke-242.

Menerusi persoalan tersebut, seorang individu menceritakan pengalaman adik bongsunya yang sering jatuh sakit ketika kecil sehingga nenek mereka mengambil keputusan menukar namanya.

Menurutnya, nenek beranggapan nama asal adiknya 'terlalu berat' untuk ditanggung.

Selepas nama ditukar, adiknya didakwa tidak lagi kerap jatuh sakit seperti sebelumnya.

Susulan itu Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan bahawa pihaknya tidak menemukan sebarang asas atau penjelasan yang menyokong kepercayaan bahawa seseorang anak tidak mampu menanggung sesuatu nama kerana 'terlalu berat'.

Malah, ia dibimbangi termasuk dalam kategori khurafat atau kepercayaan karut.

Menurut penjelasan tersebut, nama yang baik sememangnya mempunyai kedudukan penting dalam Islam kerana ia antara faktor yang boleh membentuk peribadi seseorang.

Antara perkara yang dijelaskan ialah:

1. Nama yang baik digalakkan dalam Islam

Rasulullah SAW bersabda bahawa manusia akan dipanggil pada hari kiamat menggunakan nama masing-masing dan nama bapa mereka.

Justeru, umat Islam dianjurkan memberikan nama yang baik kepada anak-anak.

Hadis tersebut diriwayatkan oleh Abu Daud (4,948).

2. Islam menggalakkan penukaran nama yang tidak elok

Imam Ibn al-Qayyim menjelaskan bahawa terdapat hubungan antara nama dengan akhlak, peribadi dan tingkah laku seseorang.

Malah, Rasulullah SAW sendiri pernah menukar nama Barrah kepada Zainab kerana nama asalnya boleh membawa maksud seolah-olah seseorang itu memuji kesucian dirinya.

3. Nama yang membawa maksud buruk perlu dielakkan

Para ulama turut menjelaskan bahawa nama yang mempunyai maksud buruk atau unsur syirik perlu ditukar.

Penukaran nama juga digalakkan atas sebab kemaslahatan tertentu, termasuk mengelakkan maksud yang tidak sesuai.

4. Kepercayaan nama 'terlalu berat' tiada sandaran jelas

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan juga menegaskan bahawa tiada asas yang ditemukan bagi dakwaan seseorang bayi tidak mampu menanggung nama tertentu sehingga menyebabkan dirinya sering sakit.

Kepercayaan sedemikian juga dibimbangi bercanggah dengan akidah Islam kerana hanya Allah SWT yang berkuasa memberikan manfaat atau mendatangkan kemudaratan kepada seseorang.

Perkara itu sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah Yunus, ayat 107, yang menjelaskan bahawa tiada sesiapa dapat menghilangkan kemudaratan selain Allah SWT.

5. Umat Islam perlu menghindari kepercayaan khurafat

Dalam penjelasan sama, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan umat Islam supaya tidak mempercayai sesuatu nama boleh membawa nasib malang atau menyebabkan seseorang ditimpa kesusahan.

Hal ini turut berkait dengan larangan mempercayai kesialan sebagaimana disebut dalam hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Muslim (2,224).

Kesimpulannya, menukar nama kerana mempunyai maksud yang tidak baik sememangnya mempunyai asas dalam Islam.

Namun, kepercayaan bahawa nama 'terlalu berat' untuk ditanggung sehingga menyebabkan seseorang anak sering jatuh sakit tidak mempunyai sandaran dalil yang jelas dan sebaik-baiknya dielakkan.

Artikel Lain