suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Anthony Loke kekal pendirian, letak jawatan sebaik sahaja Najib tiba di rumah

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

DIKEMASKINI

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di kediamannya untuk tahanan rumah.

"Kenyataan saya sebelum ini kekal. Sebaik sahaja Najib tiba di rumah, peletakan jawatan saya akan berkuat kuasa.

"Kalau malam ini tiba di rumah, malam inilah berkuat kuasa (letak jawatan). Kalau esok, esoklah," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan (MOT) pada Jumaat.

Loke berkata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan kepadanya bahawa Najib ketika ini sedang menjalani pemeriksaan gigi.

ARTIKEL BERKAITAN: Najib dibawa keluar dari Penjara Kajang menaiki Proton X70

Pada 19 September lalu, Loke dilaporkan berkata beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan sekiranya Najib dibenarkan menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Tambah Setiausaha Agung DAP itu, satu surat akan dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memaklumkan tarikh kuat kuasa peletakan jawatan berkenaan.

Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta.

Sebelum ini, mStar melaporkan Najib telah melunaskan bayaran denda sebanyak RM50 juta di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi memenuhi syarat pengampunan bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri itu dibawa keluar dari Penjara Kajang sekitar pukul 2.45 petang.

Untuk rekod, Najib, 73, mula menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang pada 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng dana berjumlah RM42 juta milik SRC International. 

Artikel Sebelum

Artikel Lain