Pelaksanaan tahanan rumah terhadap Najib ditangguhkan buat sementara waktu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat.
PELAKSANAAN tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ditangguhkan buat sementara waktu, demikian menurut Jabatan Peguam Negara (AGC). Menerusi satu kenyataan pada petang Jumaat, AGC memaklumkan penangguhan berkenaan bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim sebelum ini. AGC berkata, penangguhan itu dibuat susulan timbul persoalan perundangan berhubung tafsiran perintah bertarikh 18 September 2026, khususnya mengenai kesan pembayaran denda RM50 juta terhadap baki hukuman penjara Najib bagi kes SRC International."Terdapat dua interpretasi yang perlu diberikan penelitian lanjut. Pertama, pembayaran denda RM50 juta hanya memenuhi komponen hukuman denda, manakala hukuman penjara bagi kes SRC International masih berjalan sehingga 23 Ogos 2028."Berdasarkan interpretasi ini, tahanan di rumah merupakan kaedah atau tempat alternatif bagi menjalani baki hukuman penjara tersebut dan bukannya penamatan hukuman penjara."Kedua, pembayaran denda RM50 juta merupakan syarat yang membolehkan pengampunan berkuat kuasa sepenuhnya, yang membawa kesan keseluruhan hukuman bagi kes SRC International, termasuk hukuman penjara, dianggap telah selesai," katanya.Persoalan itu turut melibatkan kesan Order of Discharge on Payment of Fine bertarikh 6 November 2026 yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pembayaran denda RM50 juta berkenaan direkodkan.ARTIKEL BERKAITAN: Najib dibawa keluar dari Penjara Kajang menaiki Proton X70Jelasnya, perintah mahkamah itu mengarahkan Najib dilepaskan serta-merta, namun pada masa sama menyatakan baki hukuman perlu dijalani menerusi tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 berdasarkan Perintah Pengampunan Bersyarat."Sehubungan itu, pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Mohd Najib adalah wajar ditangguhkan buat sementara waktu sehingga penelitian dan penjelasan lanjut berhubung interpretasi Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan Order of Discharge tersebut diselesaikan."Dalam tempoh berkenaan, status penahanan beliau hendaklah dikekalkan di tempat tahanan sedia ada, tertakluk kepada kuasa dan arahan pihak berkuasa yang berkenaan," ujarnya.Tambah kenyataan itu lagi, penangguhan itu juga bukan bertujuan mempertikaikan atau mengetepikan titah Yang di-Pertuan Agong, sebaliknya bagi memastikan pelaksanaannya serta perintah mahkamah berkaitan dilaksanakan dengan tepat dan selaras dengan kedudukan undang-undang.Jabatan Peguam Negara akan mengambil tindakan selanjutnya selepas penelitian dan penjelasan berhubung perkara itu selesai dilaksanakan.Pada 18 September lalu, Najib menerima pengampunan bersyarat daripada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang membolehkannya menjalani baki hukuman menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada beberapa syarat yang ditetapkan, termasuk pembayaran denda RM50 juta.Sebelum ini, mStar melaporkan Najib telah melunaskan bayaran denda sebanyak RM50 juta di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat, bagi memenuhi syarat pengampunan bersyarat dalam kes SRC International Sdn Bhd.Bekas Perdana Menteri itu dibawa keluar dari Penjara Kajang sekitar pukul 2.45 petang.