suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Kenapa ETS Malaysia tak selaju ‘bullet train’ luar negara? Ini jawapan teknikal yang ramai tak tahu

Kapasiti enjin bukan satu-satunya faktor menyebabkan ETS (gambar kiri) tidak boleh menambah kelajuan operasinya sehingga menyamai tren berkelajuan tinggi di luar negara.

TULAR satu perkongsian seorang pengguna di aplikasi Threads yang meluahkan rasa 'cemburu' melihat kelajuan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) di luar negara.

Dalam hantaran tersebut, dia turut membuat perbandingan dengan kelajuan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) yang dikendalikan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Malaysia.

"Bilalah ETS kita nak selaju inikan. 200 kilometer (km) dalam sejam je," kata ajxpppp_ sambil berkongsi rakaman video dari dalam tren berkelajuan tinggi yang dinaikinya itu.

Hantaran itu membuatkan ramai daripada kita bertanyakan persoalan yang sama, apatah lagi perkhidmatan ETS sudah pun beroperasi lebih sedekad di Malaysia.

Jadi, apakah punca utama menyebabkan ETS di Malaysia tidak mampu memecut mencecah sehingga 300 km/j seperti tren HSR di China mahupun Jepun?

Bukan sebab enjin tren

Jawapan kepada pertanyaan tersebut sebenarnya terletak pada saiz landasan yang digunakan, dan bukannya disebabkan oleh kekangan enjin atau kapasiti tren ETS untuk bergerak.

Untuk pengetahuan anda, seluruh rangkaian landasan utama di Malaysia dikendalikan KTMB menggunakan sistem tolok meter atau metre-gauge yang mempunyai kelebaran tepat 1.0 meter.

Disebabkan reka bentuk landasan yang agak sempit ini, had kelajuan operasi maksimum yang selamat untuk ETS adalah sekitar 140 km/j sahaja demi faktor kestabilan.

Ini selari dengan pematuhan dan amalan keselamatan operasi tren di seluruh dunia. 

Jika tren dipaksa memecut melebihi had tersebut, risiko untuk ia menjadi tidak stabil atau tergelincir adalah sangat tinggi lebih-lebih lagi di kawasan selekoh.

Sebagai perbandingan, HSR atau bullet train di luar negara boleh memecut lebih laju kerana mereka menggunakan landasan tolok piawai atau standard gauge yang jauh lebih lebar, iaitu 1.435 meter.

Amalan itu adalah mengikut syarat digariskan International Union of Railways (UIC) yang menetapkan bahawa operasi tren melebihi 200 km/j secara mandatori memerlukan landasan standard gauge dengan lebar 1.435 meter.

Meskipun beroperasi dengan status kelajuan 140 km/j, ramai yang tidak tahu bahawa ETS Malaysia sebenarnya berada dalam kelas tersendiri.

Ini kerana perkhidmatan ETS di Malaysia merupakan antara tren komersial terlaju di dunia bagi kategori landasan jenis tolok meter.

Malah, kelajuan operasi ETS kita ini adalah setanding dengan tren ekspres laluan sempit terkemuka di negara maju seperti tren Taroko Express and Puyuma Express di Taiwan, serta perkhidmatan tren condong atau Tilt Train milik Queensland Rail di Australia yang turut beroperasi pada julat kelajuan yang sama.

Pada masa sama, pihak pengeluar tren dari China, CRRC Zhuzhou Electric Locomotive juga pernah melaporkan tren ciptaan mereka untuk pasaran Malaysia ini turut mencatatkan rekod dunia bagi kategori tren tolok meter apabila mencecah kelajuan ujian sehingga 176 km/j.

Artikel Lain