SEORANG bapa warga China ditahan polis pada Selasa selepas didakwa meninggalkan anak lelakinya di tepi lebuh raya di Nilai, Negeri Sembilan, hingga menyebabkan kanak-kanak itu terpaksa berpaut pada belakang kereta sebelum terjatuh.Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya berkata, lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sebuah kediaman di Jalan Cheras, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 12.15 tengah hari. Polis turut merampas sebuah kereta berwarna putih yang terlibat dalam kejadian itu selepas rakaman kejadian tular di media sosial."Siasatan mendapati lelaki itu mengaku terbabit dalam kejadian berkenaan dan memaklumkan bahawa dia bersama keluarganya bertolak dari Cheras menuju ke Pantai Bagan Lalang, Selangor untuk beriadah melalui Lebuhraya Utara-Selatan kira-kira pukul 1 tengah hari pada Isnin (9 November)."Ketika dalam perjalanan, mangsa yang merupakan anak sulung lelaki berusia 12 tahun telah bertengkar dengannya sehingga menyebabkan lelaki itu berang sebelum memberhentikan kereta di tepi jalan, mengarahkan mangsa turun dan memarahinya di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan.ARTIKEL BERKAITAN: Kena tinggal dekat plaza tol, budak lelaki jatuh ketika kejar kereta ibu bapaDia berkata, lelaki itu kemudian meninggalkan mangsa di tepi jalan dan meneruskan perjalanan dengan alasan mahu mengajar anaknya supaya tidak mengulangi perbuatannya.Johari berkata, lelaki itu mendakwa melihat mangsa terjatuh ke atas jalan raya selepas dia meneruskan perjalanan. Dia kemudian berpatah balik untuk mengambil anaknya sebelum membawanya ke sebuah klinik swasta di Bandar Baru Nilai bagi menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.