suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Ingat boleh hibah apa saja, rupanya ini sebab utama caruman KWSP wajib faraid... Ramai pencarum salah faham!

Pemilik akaun KWSP tidak boleh menghibahkan caruman mereka kepada penerima tertentu. -Gambar hiasan

APABILA berlaku kematian dalam sesebuah keluarga, proses pengagihan harta peninggalan arwah sudah tentu menjadi satu proses penting yang perlu diselesaikan.

Selain aset fizikal seperti rumah, hartanah dan wang simpanan di bank, satu lagi aset yang lazimnya bernilai tinggi adalah wang caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Di Malaysia, wang KWSP ini kebiasaannya diuruskan mengikut ketetapan hukum pembahagian harta pusaka Islam atau lebih dikenali sebagai faraid.

Bagaimanapun, ramai yang mempersoalkan langkah tersebut kerana lebih cenderung supaya caruman berkenaan diagihkan melalui cara hibah (pemberian semasa hidup).

Ini kerana berbanding faraid yang mempunyai ketetapan hukum tetap dan sukar diubah, hibah dilihat memberi kebebasan penuh kepada pemilik harta untuk menentukan sendiri siapa penerima wang tersebut.

Bagi merungkai kekeliruan ini, perunding harta pusaka yang juga penceramah bertauliah Majlis Agama Islam Selangor, Mohd Fadzli tampil berkongsikan tiga sebab utama mengapa wang KWSP tidak boleh dihibahkan:

1. Belum cukup syarat (Milk al-Tam)

Dalam Islam, anda hanya boleh menghibahkan atau menghadiahkan harta yang sudah berada di bawah pemilikan penuh dan mutlak anda.

Prinsip ini dikenali sebagai Milk al-tam yang bermaksud hak miliki sempurna dalam hukum mualamalat Islam.

Walaupun akaun KWSP itu tertera nama anda, wangnya masih disimpan oleh pihak institusi dan belum dikeluarkan secara fizikal.

2. Sekatan dalam urusan pindah milik

Syarat sah hibah yang kedua ialah pemberi mestilah bebas menguruskan hartanya tanpa sebarang sekatan. 

Wang KWSP terikat dengan Akta KWSP 1991 dan pemegang akaun tidak mempunyai kebebasan untuk mengeluarkan atau memindahkan wang tersebut sesuka hati pada bila-bila masa. 

Sekatan pengeluaran ini mewujudkan 'kecacatan syarat' yang membatalkan akad hibah.

3. Tujuan asal KWSP

KWSP ditubuhkan khusus sebagai tabungan jaminan sosial bagi memastikan anda mempunyai dana untuk menyara diri selepas bersara, bukannya untuk dihadiahkan kepada orang lain.

Oleh itu, jika pencarum meninggal dunia sebelum sempat menggunakannya, status wang itu secara automatik bertukar menjadi harta pusaka yang perlu dibahagikan mengikut hukum faraid.

Artikel Lain