Najib perlu mematuhi syarat yang dikenakan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan untuk tahanan rumah.
BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibenarkan tinggal bersama ahli keluarganya sepanjang menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah bagi kes SRC International.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan menetapkan empat kategori syarat dalam perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib. Katanya, syarat itu merangkumi sekatan berkaitan tempat tinggal dan pergaulan, pergerakan dan lawatan, penggunaan telefon serta peranti telekomunikasi, selain kewajipan menyertai program pemulihan dan intervensi."Najib tidak dibenarkan berpindah (keluar daripada alamat kediaman) ke bangunan atau rumah lain melainkan izin bertulis. Misalnya, nak pergi sembahyang Jumaat, kita akan bawa."Beliau tidak dibenarkan tinggal bersama sesiapa selain ahli keluarganya, termasuk isteri-isteri, anak-anak, menantu dan cucu, kecuali mendapat kebenaran bertulis terlebih dahulu."Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan sudah menetapkan siapa yang dibenarkan tinggal bersamanya. Individu lain perlu mendapatkan kebenaran bertulis," katanya.Saifuddin berkata, Najib juga tidak dibenarkan menerima pelawat tanpa kebenaran bertulis.Bekas Presiden Umno itu turut dilarang menggunakan telefon atau peranti telekomunikasi selain yang didaftarkan dengan Jabatan Penjara.Selain itu, Najib tidak dibenarkan membuat kenyataan kepada media, muncul di platform media sosial, menghadiri majlis awam atau terbabit dalam kegiatan politik.Saifuddin menjelaskan, syarat berkenaan bukan ditetapkan khusus untuk Najib semata-mata, sebaliknya turut menjadi panduan bagi mengendalikan kes seumpama itu pada masa depan.Katanya, Jabatan Penjara juga mempunyai kuasa di bawah Akta Penjara untuk mengenakan syarat tambahan bagi tujuan kawalan dan pengawasan, selain menetapkan prosedur yang diperlukan.Najib mula menjalani baki hukuman penjara enam tahun bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah pada 10 November lalu.Hukuman itu dijadualkan tamat pada 23 Ogos 2028.